BAB 1 - Kejadian Dan Tugas Manusia

MANUSIA MENURUT AL QURAN

MENGENAL ALLAH SEBAGAI PENCIPTA

1. Pendahuluan

Islam adalah sebuah Deen yang lengkap merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Secara kasarnya, Islam merangkumi aspek aqidah, ibadat, syariat dan akhlak. Kesemuanya telah dihuraikan malah dipraktikkan oleh Rasullullah SAW semasa hayat baginda dan diikuti oleh para sahabat serta umat Islam terkemudian.

Rukun iman yang pertama mewajibkan kita mengimani dengan kefahaman yang betul terhadap ketuhanan Allah SWT. Terdapat tiga pembahagian yang diberikan oleh sebahagian ulama’ dalam usaha untuk mengenal dan seterusnya mentauhidkan Allah. Tiga pembahagian tersebut ialah mengenal Allah sebagai Ilah yang dikenali sebagai Tauhid Uluhiyyah; mengenal Allah sebagai Rab iaitu Tauhid Rububiyyah; dan mengenal Allah melalui nama-nama (asma’) dan sifat-sifatnya.

2. Tauhid Uluhiyyah

Mendapat namanya dari perkataan Ilah yang umumnya dimaksudkan sebagai ‘tuhan yang disembah’. Tauhid Uluhiyyah meminta umat Islam supaya mengesakan Allah sebagai satu-satunya tuhan untuk diabdikan diri kepadaNya. Pengabdian tersebut hendaklah dibuat dalam semua sudut seperti berikut:

i. Menegaskan Allah SWT sebagai tempat tumpuan atau matlamat pengabdian. Mukmin tidak boleh mengabdikan dirinya kepada selain dari Allah SWT Firman Allah SWT :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ(77)
“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Al-Hajj : 77).

Dalam surah Al-An’am : 162 Allah SWT berfirman:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ(162)
“Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An’am : 162)

Mengambil sembahan yang lain bererti mensyirikkan Allah SWT dan segala khidmat di dalam hidup seseorang muslim adalah ditujukan untuk mentaati perintah Allah SWT.

ii. Menjadikan Allah SWT sebagai tempat berlindung dalam segala perkara. Semua perlindungan yang diberikan oleh makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung kepada keizinanNya. Firman Allah SWT:

رَبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ فَاتَّخِذْهُ وَكِيلًا(9)
“Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.  (Al-Muzammil : 9).

Dalam firman Allah SWT yang lain: قُلْ أَتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا وَاللَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ(76)
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". (Al-Maidah : 76).
iii. Menjadikan Allah sebagai tumpuan kecintaan.

Tanda mengesakan Allah SWT. di sudut uluhiyyah juga ialah dengan menjadikanNya sebagai tumpuan kecintaan. Tidak ada cinta yang lebih agong dari cinta mukmin kepada tuhannya. Allah SWT. menjelaskan dalam surah al Taubah ayat 24.
قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا
 وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنْ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ
 لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ(24)
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (At-Taubah : 24)

iv. Mengesakan Allah SWT. sebagai pemberi rezeki.

Pada hakikatnya, Allah SWT. sahajalah yang memberi rezeki. Makhluk hanyalah sebagai perantara atau menyampai sahaja dan tidak berupaya untuk menambah ataupun mengurangi rezeki sesiapa. Firman Allah SWT. dalam surah Fatir ayat 3:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللَّهِ يَرْزُقُكُمْ مِنْ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ فَأَنَّى تُؤْفَكُونَ(3)

“Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Ia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)? (Fatir : 2,3).

Setiap Muslim yang memahami pengertian Ilah akan melepaskan diri dari pergantungan kepada selain Allah SWT. dalam mendapatkan rezekinya. Mereka menyakini bahawa semua sumber rezeki adalah dari Allah SWT. dan sesungguhnya rezeki Allah itu amat luas sekali.

v. Membenarkan bahawa Allah SWT. adalah sumber perundangan.

Semua peraturan bagi alam dan isinya termasuk manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT. yang berhak untuk menetukan segala perundangan dan peraturan maka manusia hendaklah merujuk kepadaNya. Manusia dibenarkan membuat peraturan tambahan selagi mana tidak bertentangan dengan hukum Allah SWT. Sebagai mukmin kita hendaklah berkeyakinan bahawa semua hukum Allah SWT. mengatasi peraturan yang dibuat oleh manusia. Firman Allah SWT.
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنْ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ(50)

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah. (Al-Maidah : 50).

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْكَافِرُونَ(44)
“…..dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Maidah : 44).

Oleh itu orang muslim hendaklah dengan sepenuh hati menerima segala ketetapan hukum yang telah diputuskan oleh Allah SWT. tanpa ragu-ragu dan berusaha untuk melaksanakan dalam kehidupan mereka.

2. Tauhid Rububiyyah.

Perkataan “rab” banyak kali disebut sama ada di dalam al-Quran atau al-Hadith. Contohnya dalam surah al Fatihah ayat 2 :
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ(2)
“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-Fatihah : 2).

Beriman dengan Tauhid Rububiyyah ialah beriktikad bahawa Allah satu-satunya tuhan yang menciptakan alam. Dialah satu-satunya tuhan yang memiliki alam, dan Dialah satu-satunya tuhan yang mentadbir dan menguruskan alam ini. Segala yang ada di dalam alam ini adalah di dalam pengetahuan Allah SWT. Dia bebas melakukan apa yang disukainya terhadap alam ini. Dia yang menciptakan alam ini dari tiada kepada ada. Dia mentadbir alam mengikut aturan yang dikehendakiNya dan Dia jugalah yang berkuasa memusnahkan alam ini pada bila-bila masa yang disukainya.

3. Tauhid nama-nama (asma’) dan sifat-sifat Allah SWT.

Mempelajari nama-nama Allah SWT. yang indah adalah merupakan satu cara untuk mengenal-Nya. Allah SWT. mempunyai 99 nama yang indah (asma al husna), sekaligus menggambarkan sifat-sifat bagi Allah. Sekalipun ada makhluk yang mempunyai nama yang serupa tetapi kesempurnaan sifat Allah SWT. adalah mengatasi segala makhluk, contohnya sifat pemurah Allah SWT. yang digambarkan oleh nama al-Rahman. Walaupun ada manusia bersifat pemurah tetapi amat jauh berbeza dengan sifat yang ada pada Allah SWT.. Manusia umumnya bersifat pemurah kepada orang yang disukai dan menghormatinya tetapi sifat Maha Pemurah bagi Allah SWT. adalah terlalu luas. Allah SWT. tetap mengurniakan rezekiNya kepada manusia sekalipun dari kalangan mereka yang ingkar, kafir malah berusaha untuk memadamkan cahayaNya di bumi ini. Mereka tidak terus dimatikan atau ditarik nikmat oleh Allah SWT. bahkan ditangguhkan balasan di hari kiamat kelak. Begitulah seterusnya sifat-sifat dan nama Allah yang lain yang perlu dipelajari oleh umat Islam.
Mengenali Allah SWT. sebagai pencipta adalah fitrah manusia.

4. Mengenali Allah SWT. sebagai pencipta adalah fitrah manusia.

Adalah menjadi fitrah semua manusia membenarkan ketuhanan Allah SWT. sebagai pencipta. Firman Allah SWT.
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلْ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ(25)
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Luqman : 25).

Persoalan yang serupa yang boleh kita lihat dalam banyak ayat lain:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّا يُؤْفَكُونَ(61)
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? (Al-Ankabut : 61).

Sekalipun kita dapati ramai manusia yang bertuhankan selain Allah sebagai pencipta namun sebenarnya mereka adalah berdusta. Mereka cuba mendustai kita tetapi sebenarnya mereka mendustai diri mereka sendiri. Seorang manusia yang dalam keadaan tersepit hidupnya, ketika tidak ada mana-mana kuasa lain yang boleh membantunya maka pada ketika itu dia pasti akan kembali kepada fitrah asalnya iaitu membenarkan bahawa Allah sebagai penciptanya. Allah memberikan perumpamaan dalam al Quran:
وَإِذَا غَشِيَهُمْ مَوْجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوْا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ فَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا كُلُّ خَتَّارٍ كَفُورٍ(32)
“Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi. (Luqman : 32).

Dalam keadaan hidup manusia yang dipenuhi kemewahan, sihat dan senang-lenang mungkin mereka mampu untuk berpura-pura menafikan ketuhanan Allah. Apabila mereka dihimpit derita dan tidak ada siapa pun makhluk di alam ini yang mampu membantu, pada ketika itulah manusia mencari semula tuhannya. Orang yang berkuasa seperti Firaun di zaman Nabi Musa a.s dengan sewenang-wenangnya menafikan dan malah mempermain-mainkan ajaran yang dibawa oleh nabi tersebut. Lebih jauh lagi, Firaun mengakui dirinya sebagai tuhan. Manusia sering buta mata hatinya dan terhijab dari makrifatullah apabila sifat sombong dan takabbur menguasainya. Iblis yang telah sekian lama beribadah kepada Allah telah menjadi kafir lantaran sifat sombongnya. Walaubagaimanapun Firaun yang takabbur dilambung ombak besar dan menyakini ajalnya akan sampai, akhirnya kembali kepada fitrah kejadiannya iaitu ingin kembali kepada Allah SWT. Firman Allah SWT.

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ(90)
“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Yunus : 90).

Firaun hanya mahu kembali kepada fitrah asalnya di saat sakaratulmaut di mana pada ketika itu tidak ada gunanya lagi amal dan taubat. Dia mati kafir kerana sifat takabburnya.

Kita juga biasa mendengar bagaimana Lenin yang menjadi pelopor kepada ajaran tidak bertuhan (atheis) di saat menghadapi sakaratulmaut mengulangi rintihan “oh tuhan, aku sakit”. Anggota politbiro yang mengelilingi tokoh komunis itu tercengang dengan apa yang diulangi oleh Lenin kerana ia amat bertentangan dengan ajaran komunisme.

Kepercayaan manusia terhadap Allah SWT. penciptanya disebut dalam firmanNya:
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ(172)أَوْ تَقُولُوا إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِنْ قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِنْ بَعْدِهِمْ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ(173)
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?" (Al-A’raf : 172-173).

Demikianlah persediaan yang dibuat oleh Allah SWT. kepada setiap insan sebelum dilahirkan lagi. Sekiranya sampai petunjuk dan tidak ada perasaan takabbur, pasti manusia tidak akan terseleweng dari fitrah asalnya.

Allah SWT. juga menegaskan bahawa fitrah membenarkan Allah SWT. sebagai pencipta ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Selagi manusia masih digelar manusia dan mempunyai akal yang waras, fitrah ini tidak akan berubah. Firman Allah SWT.
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ(30)
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Ar-Rum : 30).

5. Antara cara-cara untuk mengenali Allah SWT. sebagai pencipta

Ada dua cara utama untuk mengenali Allah SWT. sebagai pencipta iaitu melalui dalil-dalil naqli (al Quran dan al Hadith) dan dalil melalui logik dan pentafsiran alam semesta.

Dalil naqli

i. Ayat-ayat al Quran yang telah pun disebutkan sebelum ini sudah cukup untuk menjelaskan betapa Allah SWT. adalah tuhan yang menciptakan segalanya. Hadith-hadith nabi  SAW. pula sebagai penjelas kepada ayat-ayat suci tersebut.

ii. Perutusan para nabi juga disebutkan di dalam al Quran sejak Nabi Adam a.s. sehinggalah Nabi Muhammad  SAW.. Antaranya doa Nabi Adam a.s. yang disebut di dalam al Quran:
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ(23)
“Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
(Al-A’raf : 23).

iii. Keyakinan terhadap keesaan Allah SWT. telah diimani oleh berbilion manusia dari generasi ke generasi samaada di kalangan para nabi, ulama’, hukama’ mahupun manusia biasa.

Dalil ‘aqliyyah

i. Sebagai manusia yang beraqal, kita pasti tidak dapat menerima hakikat sesuatu itu boleh terjadi dengan sendirinya tanpa pencipta. Seandainya kita tidak dapat menerima bahawa sebatang kapur boleh terjadi dengan sendirinya hasil dari proses alam semulajadi maka tentulah lebih mustahil untuk kita terima bahawa alam yang hebat ini berserta isinya seperti manusia, haiwan dan tumbuhan boleh terjadi dengan sendiri. Dengan itu pasti ada penciptanya iaitu Allah SWT. yang Maha Agong.
ii. Pencipta kepada alam ini mestilah satu kuasa sahaja. Jika ada lebih dari satu tuhan sudah pasti mereka akan saling bertanding malah bergaduh yang boleh menyebabkan alam ini binasa.
iii. Pemberian rezeki kepada semua makhluk ditetapkan oleh penciptanya Allah yang menciptakan segalanya maka Dialah yang lebih mengetahui segala Keperluan makhluk ciptaannya.
iv. Allah satu-satunya pencipta yang memiliki dan mentadbir sekelian alam. Semuanya kelihatan teratur rapi, cakrawala tidak berlanggaran, peralihan malam dan siang dengan begitu jitu sekali dan memang kelihatan alam ini benar-benar seperti dicetak (tabie) oleh penciptanya.
v. Kajian-kajian sains membuktikan bahawa kitaran alam dan makhluknya tersusun dengan rapi. Jika kita lihat dalam alam haiwan, populasi mereka terkawal secara tabie (ditentukan oleh Allah). Kehidupan haiwan juga amat berkait rapat dengan manusia, tumbuhan dan makhluk yang lain. Kandungan alam ini amat pelbagai dan rencam tetapi mampu berinteraksi dengan amat harmoni sekali. Bukankah ini sebagai bukti yang nyata bahawa Allah itu Maha Pencipta.

6. Kesan aqidah Tauhid dalam kehidupan manusia.

Antara kesan yang boleh kita lihat kepada golongan yang meyakini Tauhid terhadap Allah adalah seperti berikut:

i. Orang yang mentauhidkan Allah tidak akan berpandangan sempit. Baginya tidak ada suatupun yang ganjil di alam ini kerana semuanya adalah atas kehendak Allah. Tiada suatu pun di alam ini yang dapat menghalangnya daripada berkhidmat kepada Allah. Oleh itu ia akan berpandangan luas kerana mengetahui akan kebesaran Allah yang mencipta segala-segalanya. Sikap ini tidak mungkin diperolehi orang yang mengatakan tuhan berbilang atau orang yang mengiktiqadkan bahawa Allah mempunyai sifat-sifat yang menyerupai manusia atau makhluk-makhluk yang lain.
ii. Mentauhidkan Allah boleh membina kemurnian dan kemulian kepada jiwa manusia. Menyedari akan Allah memiliki segala kekuatan, maka tiada suatu kuasa pun yang mampu memberi manfaat atau mudarat tanpa izinNya. Dialah tuhan yang menghidup dan mematikan dan hanya kepadaNya sahaja yang perlu ditakuti, tunduk dan patuh.
iii. Keyakinan kepada kekuasaan Allah yang esa akan menimbulkan rasa tawadu’ dalam jiwa manusia. Orang yang beriman kepada Allah tidak mungkin bersifat angkuh dan takabbur seperti mana sifat yang ada pada kebanyakan golongan kafir dan mulhid.
iv. Orang yang mentauhidkan Allah mengetahui dengan yakin bahawa tiada baginya jalan menuju kejayaan dan kemenangan melainkan dengan membersihkan diri dari unsur-unsur syirik dan beramal salih. Manakala golongan yang mempunyai iktiqad yang salah hanya berangan-angan serta mengharapkan balasan baik sedangkan hidup mereka bertuhankan hawa nafsu.
v. Orang yang mentauhidkan Allah tidak akan mengalami putus asa atau patah hati dalam setiap suasana. Keimanannya kepada ketentuan qada’ dan qadar melahirkan ketenangan jiwa yang luar biasa. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh, terus menerus menyerah diri dan memohon pertolongan dalam setiap keadaan. Keazaman, kesabaran dan tawakalnya akan bertambah kerana dia berkeyakinan bahawa disisinya berdiri kekuatan pemilik langit dan bumi yang mampu merubah apa sahaja yang dikehendakiNya.
vi. Mentauhidkan Allah akan melahirkan sifat berani dalam jiwa mukmin. Orang yang pengecut ialah orang yang menggantungkan harapannya kepada diri sendiri, harta dan keluarga serta berperasangka bahawa ada kuasa lain yang boleh memberi mudarat dan manfaat kepadanya. Sedangkan Allahlah sahaja yang memiliki dan menguasai segalanya.
vii. Mentauhidkan Allah akan mengangkatkan darjat insan, menanamkan dalam dirinya perasaan mulia, bersyukur, qana’ah dan kaya jiwa. Seterusnya dapat membersihkan hatinya dari tamak, cenderung kepada kejahatan, hasad dengki dan segala sifat rendah lagi keji. Tidak terdetik di hatinya untuk mengejar kejayaan dunia dengan melalui jalan-jalan yang hina.
viii. Mentauhidkan Allah juga akan menjadikan manusia terikat kepada undang-undang Allah dan memelihara undang-undang tersebut. Dia akan merasakan Allah sentiasa melihatnya walau di mana dia berada. Oleh itu dia tidak akan melakukan sesuatu yang dimurkai Allah kerana bimbang akan balasanNya di dunia mahu pun di akhirat.

7. Kesimpulan

Manusia berada pada fitrahnya yang asal, sama sekali tidak akan menafikan kewujudan Allah sebagai pencipta. Orang yang menafikan Allah sebagai pencipta segalanya adalah bersifat engkar dan takabbur. Mereka adalah orang yang sakit jiwanya, berpaling dari kebenaran yang membawa mereka kepada kesesatan dan kejahatan.

Firman Allah SWT.
قُلْ مَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنْ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أَمَّنْ يَمْلِكُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَمَنْ يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنْ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنْ الْحَيِّ وَمَنْ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ فَقُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ(31)فَذَلِكُمْ اللَّهُ رَبُّكُمْ الْحَقُّ فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ فَأَنَّا تُصْرَفُونَ(32)
“Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran? (Yunus : 31-32).

Perilaku manusia adalah pancaran dari aqidah yang bersemayam di dalam hatinya. Jika aqidah seseorang itu baik dan mantap, akan eloklah segala tingkah laku dan perbuatannya. Sebaliknya akidahnya rosak, akan buruklah kelihatan tingkah lakunya.

PROSES KEJADIAN DAN PENCIPTAAN MANUSIA MENURUT AL QURAN DAN SAINS

Pendahuluan

Al Quran dan al Sunnah telah menerangkan dengan jelas proses kejadian dan penciptaan manusia. Dalam al-Quran dan al-Sunnah, manusia disebut dengan lafaz insan (mufrad) atau nas (jama’). Selain dari itu manusia juga disebut dengan istilah basyar, bani adam atau zuriyyat adam.


Kejadian Manusia Menurut al-Quran

Manusia pertama, Adam a.s diciptakan oleh Allah SWT. daripada tanah. Kemudiannya daripada Adam dan pasangannya Hawa inilah berkembang biaknya manusia di muka bumi ini. Firman Allah SWT.
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ إِذَا أَنْتُمْ بَشَرٌ تَنتَشِرُونَ(20)
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi. (Ar-Rum : 20).

Kejadian Nabi Adam a.s.

Di dalam al Quran, terdapat sebanyak 25 tempat yang menyatakan bahawa Nabi Adam a.s. dijadikan daripada tanah. Antaranya ialah dalam surah al-Baqarah, Ali- Imran, al-Maidah, al-A’raf, al-Isra’, al-Kahfi, Maryam, Toha dan Yaasin. Contohnya firman Allah:

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنسَانِ مِنْ طِينٍ(7)ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ(8)
“Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; (As-Sajdah : 7-8).

Di dalam ayat ini Allah SWT. menerangkan dengan jelas bahawa manusia yang mula-mula sekali dijadikan iaitu Nabi dam a.s. ialah daripada tanah, Kemudian keturunannya itu barulah dijadikan daripada air mani yang hina. Dengan ini manusia bukannya dijadikan daripada kera atau monyet.

Secara terperincinya proses kejadian Nabi Adam a.s. dapat dihuraikan sebagaimana berikut:

i. Peringkat turab (tanah bumi)

Penciptaan Adam a.s. bermula dengan peringkat pengumpulan tanah bumi dalam bentuk turab iaitu tanah yang berdebu. Allah SWT. menjelaskan proses kejadian di peringkat ini sebagaimana firmanNya:
إِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللَّهِ كَمَثَلِ آدَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ(59)
“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia. )ِِAli Imran : 59).

Dalam sebuah hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi Muhammad  SAW. telah bersabda menceritakan tentang proses kejadian Adam a.s. pada peringkat ini iaitu:

ii. Peringkat tin (tanah liat)

Pada peringkat ini Allah SWT. menyaringkan debu tanah untuk mendapatkan saripatinya (sulalah min tin) di mana Allah SWT. mengambil satu bahagian yang benar-benar suci dan bersih. Seterusnya pati tanah itu dicampurkan dengan air membentuk tanah liat (tin) atau tanah yang melekat (tin lazib). Firman Allah SWT.
هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ طِينٍ
“Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah (Al-An’am : 2).

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ طِينٍ(12)
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; (Al-Mukminun : 12).

Di peringkat ini Allah SWT. menciptakan Adam a.s dalam rupa bentuk manusia. Lembaga Adam a.s. kekal dalam bentuk ini selama 40 tahun.

iii. Peringkat hama’ masnun (tanah yang berbau)

Peringkat seterusnya ialah hama’ masnun (tanah yang berbau). Peringkat ini ditinggalkan selama 40 tahun. Allah SWT. berfirman:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ(26)
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (Al-Hijr : 26).

iv. Peringkat salsal (tanah keras)

Peringkat seterusnya ialah pembentukan struktur tanah yang keras seumpama tembikar (salsal ka al fakhkhar). Peringkat ini juga mengambil masa selama 40 tahun. Oleh itu genaplah proses kejadian Adam a.s. selama 120 tahun sebelum peniupan roh oleh Allah SWT. Dengan ini peringkat ini merupakan peringkat paling terakhir dalam proses pembentukan fizikal Adam a.s. Firman Allah SWT.:
خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ كَالْفَخَّارِ(14)
“Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,
 (Ar-Rahman : 14).

v. Peringkat nafkh al-ruh (peniupan roh)

Setelah proses di atas selesai, maka Allah SWT. meniupkan roh ke dalam jasad Adam a.s. Dengan peniupan roh ini bererti sempurnalah pembentukan kejadian Adam a.s. sama ada secara fizikal atau spiritual. Dengan ini juga seluruh saluran organ dan sistem tubuhnya berfungsi. Firman Allah SWT:
فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ(29)
"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Al-Hijr : 29).

2.2 Kejadian Hawwa’

Setelah Allah SWT. menjadikan Nabi Adam a.s. dalam keadaan yang sempurna, maka ditempatkannya di dalam syurga. Kemudian Allah SWT. menciptakan pula pasangannya bagi Adam a.s. yang dinamakan Hawwa. Kisah penciptaannya tidak banyak diceritakan oleh Allah SWT. Kecuali dalam beberapa tempat sahaja di dalam al Quran. Antara dalam surah al Nisa’: 1, al A’raf: 189 dab al Zumar: 6. Firman Allah SWT.

يَاأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَتَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا(1
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (An-Nisa’ : 1).

2.3 Kejadian Bani Adam
Penciptaan Bani Adam telah dinyatakan dengan jelas sama ada di dalam al Quran atau juga al Hadith Rasullullah  SAW. Proses kejadian ini juga melalui beberapa peringkat kejadian. Firman Allah SWT.:
مَا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَارًا(13)وَقَدْ خَلَقَكُمْ أَطْوَارًا(14)
"Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), -"Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat? (Nuh : 13,14).

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ طِينٍ(12)ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَكِينٍ(13)ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ(14)
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
 (Al-Mukminun : 12-14).

يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِنْ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّى وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنْ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنْبَتَتْ مِنْ كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ(5)
“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai. (Al-Hajj : 5).

Manakala dalam sebuah hadith Rasulullah  SAW. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Berdasarkan ayat-ayat al Quran dan Hadith di atas jelas dinyatakan bahawa asal kejadian manusia daripada tanah. Menurut kajian sains, tubuh manusia mempunyai unsur-unsur yang sama dengan unsur-unsur bumi. Antaranya: a- Karbon, b- oksigen, c- hidrogen, d- fosforus, e- sulfur, f- azote, g- kalsium, h- potasium, I- sodium, j-chlorate, k- magnesium, l- ferum (besi), m- mangenese, n- kuperum, o- Iodin, p- klorin, q- kobalt, r- zink, s- silikon, t- aluminum.

Ini menunjukkan unsur-unsur di bumi mempunyai persamaan dengan unsur-unsur pada tubuh badan manusia Walaupun nisbah sukatan tidak sama. Firman Allah SWT.
مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى(55)
“Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi. (Taha : 55).

Daripada kajian sains ternyata bahawa penyusunan tubuh badan manusia datangnya dari penyusunan unsur-unsur tanah. Cuma tidak sama kadar timbangan tiap-tiap unsur tersebut. Ianya mengikut kadar fungsi unsur-unsur tersebut di dalam tubuh badan manusia sebagaimana berikut:

a. Oksigen 45,000 gram
b. Hidrogen 8,000 gram
c. Kalsium 1, 000 gram
d. Kabrit 175 gram
e. Sodium 105 gram
f. Magnesium 35 gram
g. Kuperum 0.1 gram
h. Karbon 12,000 gram
i. Azote (nitrogen) 2,000 gram
j. Fosforus 140 gram
k. Klorin 105 gram
l. Ferum (besi) 4 gram
m. Iodin 0.03 gram
n. Manganese 0.02 gram

Catatan di atas hanyalah melibatkan unsur-unsur yang penting sahaja. Menurut Prof. Dr. Ali Mutawi, Dekan Fakulti Perubatan, Universiti al Azhar, semua unsur-unsur di dalam bumi mengandungi 92 unsur dan manusia dijadikan daripada semua unsur tersebut. (Mohd Ali Abu Bakar, 1986: 54-55). Perpindahan unsur-unsur ini kepada tubuh manusia melalui makanan sama ada dari jenis tumbuhan atau pun binatang sejak dari dalam kandungan ibu hinggalah manusia meninggal dunia.

Antara faedah sumber-sumber tersebut kepada tubuh manusia ialah seperti kalsium yang dapat membantu pertumbuhan tulang dan gigi serta mencegah darah supaya tidak mudah mengalir keluar dari tubuh manusia. Manakala ibu-ibu yang mengandung perlu diberi dengan secukupnya bahan-bahan ini kerana kekurangannya boleh menyebabkan tulang mudah bengkak dan lembut. Bahan-bahan ini banyak terdapat dalam makanan yang dibuat daripada susu, biji-biji kacang, sayuran hijau, binatang yang berkulit keras seperti siput, kerang dan lain-lain.

Berdasarkan surah al Mu’minun ayat 12-14, surah al Hajj ayat 5 dan hadith Riwayat Bukhari dan Muslim, dapatlah disusun peringkat-peringkat kejadian manusia sebagaimana berikut:

a. Nutfah
b. Alaqah
c. Mudghah
d. Izam dan Lahm
e. Nasy’ah khalqan akhar
f. Nafkhur ruh

a. Nutfah

Nutfah adalah pada peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani. Firman Allah SWT.

إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا(2)
“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (Al-Insan : 2).


Sabda Rasulullah  SAW.



Menurut Ibn Jurair al Tabari, asal perkataan nutfah ialah nutf ertinya air yang sedikit yang terdapat di dalam sesuatu bekas sama ada telaga, tabung dan sebagainya. Sementara perkataan amsyaj berasal daripada perkataan masyj yang bererti percampuran.

Berasaskan makna perkataan tersebut maksud ayat di atas ialah “Sesungguhnya Kami (Allah SWT.) menciptakan manusia daripada air mani lelaki yang telah bercampur dengan air mani perempuan”. Antara para ulama yang sependapat dengan pandangan ini ialah Hasan al Basri, Ibn Kathir, al Imam al Nawawi, al Marahie dan Sayyid Qutb.

Daripada nutfah inilah Allah SWT. menciptakan anggota-anggota yang berlainan, tingkahlaku yang berbeza menjadikannya lelaki dan perempuan. Daripada nutfah lelaki akan terbentuknya saraf, tulang dan fakulti (‘asb, ‘azm, quwwah), manakala daripada nutfah perempuan akan terbentuknya darah dan daging.

b. Alaqah
Peringkat pembentukan ‘alaqah ialah pada hujung minggu yang pertama – hari ketujuh. Pada hari yang ketujuh (lebih kurang) telur yang sudah disenyawakan itu akan tertanam di dinding rahim (qarar makin). Selepas itu Kami mengubahkan nutfah menjadi ‘alaqah.
Firman Allah SWT.
ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ(14)
“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (Al-Mukminun : 14).

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ(2)
“Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (Al-Alaq : 2).

Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan perkataan ‘alaqah dengan makna segumpal darah. Ini mungkin dibuat berasaskan pandangan mata kasar. ‘Alaqah sebenarnya suatu benda yang amat seni yang diliputi oleh darah. Selain itu ‘alaqah juga mempunyai beberapa maksud iaitu:
i. Sesuatu yang bergantung atau melekat
ii. Pacat atau lintah
iii. Suatu buku atau ketulan darah

Peringkat ‘alaqah adalah peringkat dalam minggu pertama hingga minggu ketiga di dalam rahim. Berdasarkan keadaan tersebut para sarjana Muslim kini seperti Dr. Hamid al Ghabawie, Dr. Muhammad Wasfie dan Dr. Sifuddin al Sibaie berpendapat bahawa makna ‘alaqah di dalam ayat-ayat tersebut ialah morulla iaitu sel-sel yang terlekat di dinding rahim. Daripada sel bahagian luar akan tumbuh jejari halus yang dinamakan vilus. Melalui vilus inilah bayi mendapat sumber pemakanan.

c. Mudhghah
Pembentukan Mudhghah dikatakan berlaku pada minggu keempat. Perkataan Mudhghah disebut sebanyak dua kali di dalam al Quran iaitu surah al Hajj ayat 5 dan surah al Mu’minum ayat 14. Firman Allah SWT.
فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً
“lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; (Al-Mukminun : 14)

ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ
“kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Al-Hajj : 5).

Perkataan Mudhghah diterjemahkan sebagai suatu ketul daging yang dikunyah atau sesuatu yang telah digigit. (Dr. Muhammad Ali Albar, 19992:91). Di peringkat ini Allah SWT, menyebutkan dua bentuk mudhghah iaitu mudhghah mukhallaqah (yang sempurna) dan Mudhghah ghair mukhallaqah (yang tidak sempurna). Ciptaan yang sempurna ialah ciptaan yang sempurna sifatnya, pancainderanya serta rupa parasnya dan ditetapkan di dalam rahim sehingga waktu kelahirannya. Ciptaan yang tidak sempurna ialah ciptaan yang tidak bersifat atau yang digugurkan. Mudhghah yang tidak sempurna adalah dalam bentuk daging yang tidak diberi bentuk sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud yang bermaksud:

Di peringkat ini, sudah berlaku pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain. Selain itu sistem pernafasan bayi sudah terbentuk. Vilus yang tertanam di dalam otot-otot ibu kini mempunyai saluran darahnya sendiri. Jantung bayi juga mula berdegup. Untuk pembesaran dan perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi ke situ bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya. Menjelang tujuh minggu seterusnya sistem pernafasan bayi mula berfungsi sendiri.

d. Izam dan Lahm
Pada peringkat ini iaitu minggu kelima, keenam dan ketujuh ialah peringkat pembentukan tulang yang mendahului pembentukan otot-otot. Apabila tulang belulang telah dibentuk, otot-otot akan membungkus rangka tersebut. Firman Allah SWT.
فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا (14)
“Kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. (Al-Mukminun : 14).

Sabda Rasulullah  SAW

Kemudian pada akhir minggu ketujuh, terbentuk pula sistem yang kompleks. Pada tahap ini perut dan usus, seluruh sistem saraf, otak dan tulang belakang mula terbentuk. Serentak dengan itu, sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga ke paru-paru mula kelihatan. Begitu juga organ pembiakan, kelenjar hati, buah pinggang, pundi kencing dan lain-lain terbentuk dengan lebih sempurna lagi. Kaki dan tangan juga mula tumbuh. Begitu juga mata, telinga dan mulut menjadi semakin sempurna. Pada minggu kelapan, semuanya telah lengkap dan sempurna.

c. Nasy’ah Khalqan Akhar
Pada peringkat ini iaitu menjelang minggu kelapan, beberapa perubahan lagi berlaku. Perubahan pada tahap ini bukan lagi embrio tetapi sudah masuk ke peringkat janin. Pada bulan ketiga, semua tulang janin telah terbentuk sempurnanya. Kuku-kukunya pun mula tumbuh. Pada bulan keempat, pembentukan uri menjadi cukup lengkap menyebabkan baki pranatal bayi dalam kandungan hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud. Walaupun perubahan tetap berlaku tetapi perubahannya hanya pada ukuran bayi sahaja. Firman Allah SWT.
فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ(14)
“Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
(Al-Mukminun : 14)

f. Nafkhur ruh

Para ulama Islam tidak menyatakan bilakah roh ditiupkan ke dalam jasad yang sedang berkembang. Mereka hanya bersepakat mengatakan peniupan roh ini berlaku selepas empat puluh hari dan selepas terbentuknya organ-organ tubuh termasuklah organ seks.

Berhubung dengan pengguguran, sesetengah para ulama membenarkan pengguguran selagi ianya dilakukan dengan sebab-sebab perubatan dan sebelum roh ditiupkan ke dalam jasad. Kesemua ulama tidak membenarkan pengguguran setelah masuknya roh ke dalam jasad yang sedang berkembang kecuali pada satu keadaan di mana nyawa ibu berada dalam keadaan bahaya sekiranya dibiarkan kandungan tersebut. (Dr. Muhammad Ali Albar, 1992, hal: 171)

Menurut Imam al-Ghazali, roh adalah jauhar yang wujud sendiri. Jasad bergantung kepada roh untuk mewujudkan hakikat manusia. Ianya tidak mempunyai sebarang bentuk dan sifatnya tidak dapat digambarkan. Menurutnya lagi roh juga mempunyai unsur-unsur kemalaikatan. Oleh kerana itu, asal dan tabiinya adalah suci. (Zulekha Yusoff, 1999, hal: 22-23)

Imam al-Ghazali membahagikan pengertian roh kepada dua iaitu:

i. Roh dilihat dari segi jasmani. Ia merupakan sesuatu yang halus yang memancarkan cahaya hidup yang sempurna. Roh diumpamakan sebagai satu cahaya yang menerangi sebuah rumah tetapi cahaya itu tidak dapat ditafsirkan.

ii. Roh dilihat sebagai urusan Allah semata-mata yang tidak dapat ditanggapi oleh akal manusia yang terbatas. Roh yang mewarisi sifat-sifat suci Allah dan sifat ini telah diwarisi sebahagiannya kepada manusia.

Alam dunia atau alam selepas kelahiran bukanlah titik permulaan sebuah kehidupan bagi seorang insan. Nilai kehidupan mereka telah pun bermula sejak dalam rahim lagi (alam roh). Ketika di dalam rahim ibu, perkembangan mereka bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi mereka telahpun mempunyai hubungan dengan Allah SWT melalui suatu ikatan kesaksian sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT. di dalam al Quran, Surah al-A’raf, ayat 172.

Dengan ini entiti roh dan jasad adalah saling bantu-membantu untuk meningkat martabat dan kejadian insan di sisi Allah SWT.


3.0 Kejadian Manusia Menurut Sains

Dalam membincangkan proses kejadian manusia menurut sains, penulis akan sentiasa membandingkannya dengan kenyataan al Quran. Mengikut ilmu embriologi, peringkat pembentukan manusia boleh dibahagikan sebagaimana berikut:

a. Fertilized ovum (al-masyij)
b. Implantation (al-uluq)
c. Somites (mudhghah)
d. Organogenesis (takwin al-adha)
e. Fetus (janin)

3.1 Fertilized ovum

Menurut kajian sains, struktur jasad manusia terdiri daripada beberapa jenis sel. Secara umumnya sel-sel itu pula terdiri daripada beberapa organel yang tersusun rapi dan mempunyai fungsi yang saling berkaitan Antara satu sama lain. Antara fungsinya ialah menjaga kekuatan dan keutuhan organel-organel itu sendiri yang akhirnya membawa keutuhan tubuh badan itu sendiri. Komponen asas sel-sel itu, pada asasnya adalah protein, karbohidrat dan lemak. Ketiga-tiga komponen ini semuanya berasal dari makanan yang dimakan oleh manusia. Makanan yang dimakan Akan dicernakan oleh sistem percernaan. Kemudian hasil percernaan tersebut akan diserap pula ke dalam peredaran darah lalu di bawa ke seluruh tubuh bagi membentuk komponen-komponen sel yang berperanan dalam pembiakan. Sel-sel yang terdapat dalam badan terdiri daripada sel isomatik dan sel seks. Sel seks lelaki dinamakan sperma Manakala sel seks perempuan dinamakan ovum.

Mengikut kajian dalam ilmu perubatan, pada air mani yang terkeluar daripada kemaluan lelaki pada tiap-tiap kali ejakulasi mengandungi antara 200-300 juta sperma. Sperma itu bertemu dengan ovum dalam tiub Fallopio. Apabila bertemu, tiap-tiap sperma akan cuba menembusi zonapellucida ovum. Biasanya satu sahaja daripada sperma-sperma itu berjaya menembusi lapisan tersebut. Selepas itu lapisan luar ovum akan menebal. Ini akan menghalangnya sperma-sperma lain masuk ke dalamnya. Akibatnya sperma lain akan mati dalam tempoh tertentu. Percampuran antara sperma lelaki dengan ovum perempuan akan membentuk zigot. Zigot adalah sama dengan nutfah amsyaj yang terdapat di dalam al Quran. (Zawawi Hj. Ahmad, 1996, hal: 63)


3.2 Implantation

Pada peringkat ini berlaku proses pergantungan atau pembenaman embrio pada dinding rahim atau uterus. Ia juga dinamakan sebagai al-‘uluq. Keadaan embrio dan dinding uterus seumpama lintah atau pacat yang melekat pada kulit manusia. Ianya melekat dengan begitu kuat sekali ketika menghisap darah dan agak sukar untuk membuangnya.

Sebaik sahaja persenyawaan antara sperma dan ovum selesai, maka zigot akan mengalami pembahagian (belahan/cleavage) seterusnya membentuk sel-sel yang lebih kecil iaitu blastomer. Pada hari ketiga 12-16 sel sedemikian telah membentuk suatu bentuk menyerupai buah kertau (mulberry) yang dinamakan morulla yang kemudiannya membesardan dan dipenubi oleh cecair dari bahagian dalam untuk membentuk semacam sebiji bola. Struktur yang berbentuk bebola ini dinamakan blastula dan kaviti yang dipenuhi cecair itu dinamakan blastosel. Blastula berukuran hanya 0.1 mm diameter.

Apabila cecair di dalam blastula semakin meningkat (blastosista), cecair ini akan memisahkan sel-sel kepada dua lapisan iaitu lapisan sel luar daripada sel-sel yang terlibat dengan pemakanan yang dinamakan trofoblas dan jisim sel dalaman yang kemudiannya membesar untuk membentuk embrio.

Sel-sel lapisan luar blastosista melekat kepada epiteliumendometrium (lapisan uterus yang paling dalam) melalui unjuran-unjuran yang seakan-akan rambut serta saling bersentuhan dengan unjuran-unjuran yang serupa daripada lapisan epitelium endometrium.

Sebaik-baik sahaja proses pelekatan dan penggantungan ini berlaku. Trofoblast (lapisan luar blastula) terus membiak dan membentuk suatu massa sel yang paling bertindihan serta kehilangan sempadan-sempadan sel (sinsitiotrofoblas). Proses-proses yang seakan-akan jejari ini menjalar ke epitelium endometrium dan stroma endometrium. Di akhir minggu pertama, blastosista telah terbenam secara supertisial di dalam lapisan endometrium yang padu. (Dr. Muhammad ali Albar, 1992, hal: 81-83)

Proses pergantungan dan pelekatan ini dijelaskan di dalam al Quran sejak berkurun-kurun lamanya dengan istilah alaqah.

3.3 Somites

Pada peringkat ini terbentuk blok-blok bersegmen yang dinamakan somit. Pasangan pertama somit mula kelihatan pada hari ke 19 dan 21 di bahagian arah kepala (kranium) embrio. Somit-somit baru kelihatan seterusnya iaitu 3 pasang setiap hari. Menjelang akhir minggu kelima didapati 42-44 pasang somit. Usia embrio pada peringkat ini dikira mengikutjumlah bilangan somit kerana somit-somit ini membentuk sebahagian ciri-ciri ketara embrio.

Oleh itu istilah mudghah dalam al Quran adalah lebih tepat daripada istilah ‘tempoh perkembangan somit’ (somites). Istilah “tempoh perkembangan somit” tidak merangkumi lengkung-lengkung faring yang merupakan petanda penting untuk peringkat ini. Istilah mudghah adalah lebih tepat kerana daging seakan-akan dikunyah dengan kesan-kesan gigitan di atasnya tidak menerangkan somit-somit sahaja tetapi turut merangkumi lima pasang lengkung faring yang muncul pada masa ini (minggu keempat). Sebahagian daripada muka, telinga dan leher dibentuk daripada lengkung-lengkung faring itu. (Dr. Muhammad Ali Albar, 1992 hal: 94-95)

3.4 Organogenesis

Peringkat organogenesis dimulai dari miggu keempat hingga kelapan. Pada peringkat ini berlaku pembentukan tulang, otot-otot dan daging. Semua organ utama dan sistem-sistem organ dibentuk dalam tempoh ini. Dalam jangkamasa ini embrio menjadi paling suseptobel kepada faktor-faktor yang boleh mengganggu perkembangan dan kebanyakan malformasi konenital yang dilihat semasa lahir adalah bermula daripada gangguan di peringkat ini.

Pada minggu keenam merupakan kemuncak organogenesis di mana sistem pendengaran, penglihatan, tulang, daging dan kulit dibentuk. Ini diikuti dengan pantas oleh pembesaran gonad kepada testis atau ovari.

Setelah selesai peringkat organogenesis, barulah bermula tahap pembentukan fetus yang bermula sejak bulan ketiga hinggalah waktu kelahiran.

Jika dibandingkan dengan al Quran, proses pembentukan manusia di peringkat ini dinamakan ‘izam, lahma, taswir, taswiah, ta’dil dan diikuti dengan nafkh al ruh.

3.5 Fetus

Pembentukan fetus berlaku pada akhir minggu kelapan. Pada peringkat ini semua tulang janin telah terbentuk dengan sempurna dan pembentukan uri juga sudah lengkap. Baki kehidupan pra-natal bayi hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang telah wujud. Perubahan yang berlaku kepada ukuran bayi dan pada tahap ini ia bukan lagi berbentuk embrio. Jika dibandingkan dengan al Quran peringkat kejadian manusia pada tahap ini dinamakan nasy’ah khalqan akhar.

4.0 Kesimpulan

Proses kejadian manusia menurut al Quran menunjukkan manusia adalah makhluk Allah SWT. yang paling istimewa ciptaannya. Firman Allah SWT
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ(4)
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tin : 4).

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمْ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ(23)
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur". (Al-Mulk : 23).

Keistimewaan penciptaan manusia bukan setakat dari aspek fizikal tetapi meliputi unsur-unsur ruh dan akal. Ketiga-tiga perkara ini merupakan dimensi yang tidak terpisah bagi manusia. Fakta-fakta saintifik tentang kejadian manusia hanyalah memperkukuhkah kenyataan al Quran tentangnya. Ini menunjukkan bahawa al Quran mendahului fakta-fakta sains.

AYAT-AYAT AL-QURAN DAN AL HADITH TENTANG KEJADIAN MANUSIA

Kedudukan dan Keistimewaan Manusia

Allah SWT yang Maha Mengetahui pastinya tidak akan melakukan sesuatu yang sia-sia dan tidak pula main-main dalam apa jua ciptaanNya. Dia menciptakan manusia dengan tujuan dan objektif mulia sesuai dengan ilmu dan iradahNya. Dia menciptakan manusia antara lain sebagai khalifah di bumiNya. Firman Allah SWT.
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". (Al-Baqarah : 30).

Maka manusia tidak sepatutnya melakukan apa jua sesuka hati tanpa mendasari garis objektif kejadian dan penciptaannya. Manusia perlu melaksanakan tugas sebagai khalifah di bumi dengan mengikuti garis panduan dan bimbingan Allah SWT. sesuai dengan Firman Allah SWT.
هُوَ أَنشَأَكُمْ مِنْ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ(61)
“Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya". (Hud : 61).

Oleh itu manusia perlu melaksanakan tugas khalifah dengan mentaati segala perintah Allah SWT. dan ajaran RasulNya, serta pemimpin-pemimpin dari kalangan muslim yang taat di atas jalan yang benar. Situasi ini amat penting agar manusia berfungsi sewajar dan sebaik-baiknya serta berada di jalan yang benar. Allah SWT. telah menjelaskan dengan firmanNya:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا(59)
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (An-Nisa’ : 59).

Tugasnya sebagai khalifah di muka bumi juga merupakan suatu ujian terhadap generasi manusia dan akan dibalasi seadilnya di akhirat nanti. FirmanNya dalam surah al-An’am 6
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ(2)وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ(3)
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut : 2-3).

 Sebenarnya tugas khalifah yang dipertangungjawabkan ke bahu manusia merupakan suatu penghormatan dan amanah yang amat berat untuk dipikul oleh seluruh generasi manusia. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT. dalam surah al-Ahzab 33:72 bermaksud:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا(72)
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Al-Ahzab : 72).

Sesungguhnya manusia perlu menyedari perkara tersebut setiap masa kerana semuanya akan kembali dan diambil kira untuk perhitungan di hadapan Allah SWT. suatu masa nanti. Maka kelahirannya ke dunia bukanlah sia-sia tanpa tujuan yang jelas. FirmanNya
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ(115)
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Al-Mukminun : 115).

 Penentuan tanggungjawab penting tersebut sebenarnya berasaskan kepada sifat kejadian manusia itu sendiri, diciptakan oleh Allah SWT. dengan mempunyai sifat istimewa yang tidak dipunyai oleh makhluk Allah SWT yang lain. Berkaitan dengan hal-hal yang tidak dapat ditanggapi dan difahami oleh manusia pula, Allah SWT. sedia membekalkan wahyuNya sebagai panduan yang jitu dan pasti. Sekiranya tugas khalifah itu tidak upaya ditanggung oleh generasi manusia, tentunya Allah SWT. tidak akan membebani manusia dengan tugas tersebut kerana Dia amat Mengasihani hambaNya. FirmanNya dalam surah al-Baqarah 2: 286
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, (Al-Baqarah : 286).

Maka jelaslah bahawa Allah SWT. menentukan tanggungjawab tersebut ke atas manusia berdasaskan kelayakan dan asas-asas yang kukuh, sesuai dengan ilmu dan iradahNya yang sempurna. Manusia pula tidak sepatutnya mengelakkan diri daripada melaksanakan amanah tersebut sejajar dengan kejadian, kedudukan, potensi, kelebihan serta penguasaannya ke atas kebanyakan sumber alam.

Maksud khalifah menurut bahasa

Khalifah berasal daripada perkataan Bahasa Arab iaitu akar kata khalafa bermaksud menggantikan orang lain, atau berada selepasnya. Ia juga membawa maksud menjadi tiang kepada yang lain, berubah, memperbaiki, memberi minum dan seumpamanya. Dr. Ahmad Hasan Farhat dalam bukunya Al-Khilafah fi al-ard telah memetik kata-kata Al-Asfahani bahawa: Khalifah berasal dari kata khalafa bererti ganti, iaitu seseorang menggantikan seseorang yang lain. Dia melaksanakannya sama ada bersama-sama dengan orang yang digantikannya atau melaksanakannya ketika ketiadaannya. Termasuk juga dalam erti khalifah ialah menggantikan orang lain sama ada:

q Menggantikan orang yang tiada.
q Menggantikan orang yang telah mati
q Menggantikan tempat bagi orang yang tidak mampu menguruskannya.
q Menggantikan tempat seseorang sebagai memuliakannya.

Maksud khalifah menurut istilah

Menurut istilah, khalifah ialah generasi manusia yang dipilih oleh Allah SWT. sebagai penggantiNya untuk mentadbir, mengurus dan memakmurkan muka bumi ini dengan menajalankan syariah Allah SWT. sama ada di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa. Menurut pendapat beberapa orang ahli tafsir, perkataan khalifah di dalam ayat 30 surah al-Baqarah boleh diertikan dengan dua maksud iaitu:

q Allah SWT. menjadikan di atas muka bumi ini seorang khalifah, iaitu Adam yang menggantikanNya di dalam melaksanakan hukum-hakam yang ditetapkanNya.
q Allah SWT. menciptakan di atas muka bumi ini suatu kaum yang silih berganti, berlalu satu zaman dan digantikan dengan zaman berikutnya dan berlalu satu generasi dengan digantikan dengan generasi selepasnya.

Apa yang jelas ialah khalifah merupakan suatu tugas yang diberikan oleh Allah SWT. kepada makhluk yang bergelar manusia sebagai wakilNya untuk memakmurkan alam berdasaskan syariahNya. Tugas dan tanggungjawab tersebut tidak hanya tertentu kepada Adam a.s. sahaja, malah terus menerus bersambung kepada anak cucunya hingga kiamat. Oleh itu mana-mana generasi manusia yang tidak melaksanakan amanah tersebut akan tergolong dalam golongan mereka yang tidak menunaikan amanahnya terhadap Allah SWT. sebagai khalifah di bumi.

Asas tanggungjawab manusia sebagai khalifah

Allah SWT. menentukan tanggungjawab khalifah ke atas manusia berdasaskan kelayakan dan asas-asas yang kukuh, sesuai dengan penciptaannya untuk menerima tugas tersebut. Ternyata bahawa manusia dianugerahkan oleh Allah SWT. dengan begitu banyak kelebihan jika dibandingkan secara umum dengan makhlukNya yang lain merangkumi jamadat (alam benda), tumbuhan, haiwan, jin dan para malaikat. Antara kelebihan tersebut termasuklah:

(i) Keseimbangan kejadiannya
Allah SWT. telah berfirman:
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ(4)
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tin : 4).

Jelas bahawa Allah SWT. telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian sesuai dengan objektif penciptaannya yang mulia. Oleh itu manusia dihiaskan oleh Allah SWT. dengan berbagai kelebihan untuk melaksanakan tugas yang unggul. Firman Allah SWT.:
الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنسَانِ مِنْ طِينٍ(7)
“Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; (As-Sajdah : 7).

Bentuk badan dan unsur-unsur fizikal manusia yang seimbang dikemaskan lagi dengan perasaan, akal dan roh. Perimbangan antara rohani dan jasmani menjadikan manusia amat berbeza daripada makhluk Allah SWT. yang lain. Kelebihan ini diberikan oleh Allah SWT. bukannya tanpa sebab, tetapi sebenarnya dalam rangka menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Keelokan kejadian manusia yang menyerlah dengan bentuk fizikal, susunan anggota dan fungsinya serta dilengkapi dengan akal dan emosi perlu di fahami dan difungsikan sebaik mungkin oleh generasi manusia.

Walaupun kejadiannya sungguh indah tersusun rapi namun masih terdapat banyak kekurangan dan batasnya. Oleh itu dalam melaksanakan tanggungjawab, manusia amat perlu kepada pertolongan dan panduan wahyu. Sifat, sikap, perangai dan gerak laku manusia akan terarah kepada amalan yang baik dan bernilai sekiranya dilaksanakan mengikut konsep dan cara yang betul. Keseimbangan dan kemulian kejadian manusia itu sebenarnya bukanlah hakiki kerana ia bergantung pula kepada ajaran Allah SWT., sebaliknya manusia akan terhumban ke dalam kegelapan yang nyata sekiranya dia membelakangi Allah SWT., penciptanya. Surah al Baqarah: 257-telah menjelaskan:

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنْ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمْ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنْ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ(257)
“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah : 257).

Lantaran keegoan manusia dengan kelebihan diri yang sementara, kejahilannya daripada mengakui kelemahan serta kedegilannya mengikuti jalan kebenaran membuatkan dirinya menyeleweng dan layak dihina. Maka mana-mana manusia yang tidak melaksanakan fungsi kejadiannya yang dilebihkan oleh Allah SWT. dalam banyak hal akan dibalasi dengan siksaanNya yang pedih. Firman Allah SWT.
ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ(5)إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ(6)
“Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus”. (Tiin : 5-6)

(ii) Anugerah akal fikiran

Dalam Keseimbangan kejadiannya, manusia diberikan pendengaran, penglihatan dan hati sebagai amanah agar bersyukur kepadaNya. Firman Allah swt,
ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمْ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ(9)
“Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
 (As-Sajdah : 9).

Kewajipan bersyukur bukan hanya dalam bentuk ungkapan, malah semua anugerah tersebut mestilah digunakan sebaik mungkin seperti yang diamanahkan oleh Allah SWT. Akal menjadi asas mengenali, memahami, menyelidik, menilai, merancang serta melakukan apa jua aktiviti kehidupan. Akal juga merupakan dasar utama ukuran dan penerimaan tanggungjawab (taklif). Dalam melaksanakan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi, manusia wajib menjaga dan menggunakan akal sebaik mungkin sesuai dengan kemampuannya.

Manusia menggunakan akalnya untuk membina tamadun dan mengorak langkah mengisi kemajuan demi kemajuan untuk kehidupan yang lebih selesa dan bertambah maju.

Cara hidup, pemakanan, tempat tinggal, susunan kemasyarakatan dan segala perkara yang berkaitan dengan manusia sentiasa berubah, tidak seperti makhluk yang Allah SWT. yang lain.

Bagaimana pun akal manusia boleh berubah dan terpengaruh dengan berbagai perkara. Akal juga tidak berupaya meneroka perkara ghaib dan kebenaran yang berada di luar jangkaan kemampuannya. Maka wahyu yang berfungsi memandu akal ke arah yang sepatutnya agar manusia dapat melaksanakan tugasnya sebagai khalifah di bumi dengan lebih terpedoman dan jayanya. Mereka yang membataskan sumber kepada akal semata-mata walaupun terhimpun kecerdikan seluruh dunia tetap akan menyeleweng kerana kemampuan akal perlu disambung pula dengan kebenaran wahyu yang menjangkau deria. Firman Allah SWT.
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ(116)
“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (Al-An’am : 116)

(iii) Kelebihan memiliki ilmu pengetahuan

Keseimbangan rohani dan jasmani serta pemilikan akal merupakan potensi besar manusia meneroka ilmu pengetahuan demi kebaikan diri, masyarakat dan seluruh alam. Ilmu yang dijana secara benar dan seimbang akan membuahkan kesejahteraan seluruh jagat. Situasi tersebut meletakkan manusia sebagai pemegang amanah yang dipertangungjawabkan mengurus alam. Maka ilmu merupakan dasar menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Firman Allah SWT.
وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاء إِنْ كُنتُمْ صَادِقِينَ(31)
“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".

 Ilmu yang dimaksudkan bukan hanya berkaitan dengan alam tabi’i dan fizikal malah merangkumi ilmu berkenaan kerohanian dan metafizik (ghaib). Dengan kejadian dan kelebihan diri yang dianugerahkan Allah SWT. serta sumber yang dikawalnya, manusia manusia sepatutnya berupaya menagapi pelbagai perkara dan menggunakan kaedah berdasaskan ilmu, menjulang kebenaran duniawi dan ukhrawi. Manusia sepatutnya berusaha memakmurkan alam secara seimbang dan benar demi kebaikan sejagat.

 Ilmu yang dituntut pula bukanlah semata-mata merupakan “maklumat” dan “kefahaman” berkaitan sesuatu perkara, malah ianya hendaklah digunapakai dan dijelmakan dengan susunan amalan yang gigih mencerminkan kewajaran manusia sebagai khalifah yang sedar tanggungjawabnya terhadap dunia dan Allah SWT. yang menciptakannya. Kemampuan akal yang terbatas dan dibantu oleh Allah SWT dengan wahyuNya wajib diterima oleh seluruh generasi manusia. Panduan akal dan wahyu merupakan proses yang penting menjamin keaslian dan benarnya ilmu yang dimiliki. Sekiranya seseorang itu benar mempunyai ilmu pengetahuan pastinya dia akan memahami sesuatu perkara dengan jelas untuk mengambil apa jua tindakan wajar berpadanan dengan situasi dan perkara yang berkaitan. Dia juga akan menyedari dan mengakui kemampuan dan batasan sesuatu perkara termasuk perihal deria dan akal manusia.

 Justeru itu, sesuatu ilmu yang masih belum selari dengan wahyu Allah SWT. dianggap belum benar-benar mengenali kemampuan dan batasan upaya manusia. Ilmu yang benar tentunya selari dengan syariah Islam. Islam menganggap orang yang tidak mengikuti syariah sebenarnya masih belum benar-benar berilmu kerana maklumat yang dimiliki belum cukup untuk mengenali kebenaran. FirmanNya dalam surah al-Jathiyah 45: 18 bermaksud:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنْ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ(18)
“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). (Al-Jaathiah : 18).

(iv) Manusia mendominasi alam

Selain daripada Allah SWT. menciptakan alam seperti langit, bumi, tumbuhan, binatang dan lain-lain untuk menjadi tanda kewujudan dan kebesaranNya, Allah SWT. juga menjadikan semuanya itu untuk kepentingan dan kemudahan manusia dalam melaksanakan tugasnya sebagai khalifah. Allah SWT. telah berfirman:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنْ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنْ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ وَسَخَّرَ لَكُمْ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَسَخَّرَ لَكُمْ الْأَنهَارَ(32)
“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). (Ibrahim : 32).

Umumnya semua makhluk yang terdapat di bumi adalah dijadikan oleh Allah SWT. untuk kemudahan dan kepentingan manusia sebagai bahan bagi mewujudkan pembangunan dan tamadun dunia. Ianya akan bermanfaat selagi digunakan secara betul mengikut syariat yang telah ditentukan oleh Allah SWT. FirmanNya:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
“Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, (Al-Baqarah:30)

Semua kemudahan tersebut diberikan hanya kepada manusia berbanding makhluk Allah SWT. yang lain dengan objektif yang khusus iaitu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah di bumi. FirmanNya:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا(70)
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. ( Al-Isra’ : 70).

Adakah semuanya diberikan percuma untuk dilakukan sesuka hati dan sewenang-wenangnya oleh manusia, sedangkan seluruh alam ini adalah milik Allah. Apakah patut dilepaskan tanggungjawab daripada orang yang diberikan kuasa sebagai amanah untuk mentadbir, sedangkan dia mengabaikannya? Patutkah manusia tetap dimuliakan sekiranya dia memusnahkan kesejahteraan yang terbentang di tangannya?

 Jelas bahawa manusia bertanggungjawab dan dipertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbirkan alam sebaik mungkin. Pengurusan ini merangkumi benda, sistem, teknikal, hubungan sesama manusia, urusan kerohanian dan lain-lain.

Kaitan khalifah dan perubahan

Sebagai khalifah, manusia tentunya melakukan perubahan demi perubahan bersama perkembangan tamadun dunia dari masa ke semasa. Namun perubahan yang dilakukan sepatutnya tidak tergelincir daripada landasan kesejahteraan berdasarkan manhaj ketuhanan. Sesungguhnya perubahan anjuran Islam mempunyai ciri-ciri aqidah, akhlak dan manhaj yang jauh berbeza daripada aliran perubahan lain di dunia. Islam mempunyai keunggulan yang tersendiri dalam konsep pemikiran. “Manhaj” haraki dan “uslub” perubahan. Antara cirinya termasuklah apa yang telah disebutkan oleh Fathi Yakan dalam Al-Shahab wa al-taghir, merangkumi:

(i) Perubahan menyeluruh: Perubahan Islam bukan setakat perubahan material/fizikal atau satu sudut sahaja malah merangkumi semua sudut kehidupan manusia, baik dari segi sosial, ekonomi, politik, aqidah mahu pun sikap, tabiat dan tingkah laku masyarakat keseluruhannya.

 Oleh itu perubahan Rabbani tidak mungkin tercapai dengan teori dan rekaan semata-mata, apalagi tanpa program dan rancangan yang rapi, tekad, berani dan bersugguh. Perubahan Islam itu mestilah dengan mempersiapkan faktor-faktor dan sendi-sendi yang membolehkan terbangunnya masyarakat madani sebenar di atas asas-asas yang kukuh.

(ii) Perubahan aqidah (ideological) : Aqidah Islamiyah menentukan tabiat dan manhaj perubahan. Malah garis yang membataskan polisi perubahan itu berkisar dan berpusat kepada dua tonggak asasi iaitu:

a. Betul niat/ tujuan/ matlamat yang ingin dicapai. Inilah yang menjadikannya tidak hanya bergantung dan mengambil kira soal-soal nilai atau kriteria perubahan secara parti politik atau perubahan luaran yang berbentuk fizikal mahu pun dasar dan polisi yang tidak dilaksanakan.
b. Betul wasilah atau caranya dan terjamin tepatnya dari segi syara’ serta bersesuaian dengan roh Islam, sebagaimana terpeliharanya perubahan-perubahan Islami dari melanggar kaedah-kaedah syara’.

 Sekiranya dua tonggak asasi ini tidak difahami dan dilaksanakan sewajarnya akan membawa padah bukan sahaja kepada umat Islam, malah nama baik Islam dan kesejahteraan sejagat yang dijamin hanya dengan pelaksanaan peraturan dan pedoman ketuhanan.

(iii) Perubahan perikemanusiaan : iaitu cara yang benar tidak akan menuju kepada kebaikan dengan menggunakan jalan keburukan, atau menghirup kehinaan untuk sampai ke mercu kejayaan. Ianya juga tidak membina kesejahteraan di atas pengorbanan dan penindasan mahu pun peniupan dan paksaan ke atas orang, mahu pun golongan dan masyarakat lain. Rahmat berdasarkan manhaj ketuhanan tidak membataskan kebaikan hanya untuk sesuatu kaum mahu pun pihak tertentu sahaja, malah untuk semua pihak dan seluruh alam.

Walaupun pun Tacashoft, seorang pemimpin agung Komunis telah memberikan amaran untuk menghapuskan semua orang Russia yang mencapai umur melebihi 25 tahun sekiranya mereka tidak mahu menerima pemikiran Marxism, namun Islam menunjukkan sifat Rahmat dan perikemanusiaan dalam banyak peristiwa dan kejadian.

Pada hari pembukaan Kota Makkah, Abu Bakar r.a. telah menemui bapanya yang masih musyrik ketika itu lalu berkata kepada Abu bakar, “Kenapa tidak biarkan dia yang sudah berumur ini di rumahnya sahaja dan saya yang datang menemuinya.” Maka Rasulullah pun duduk di hadapannya dan menyapu ke atas dadanya seraya mengajak, “Islamlah anda.” Beliau pun memeluk agama Islam.

Semuanya jelas bahawa perubahan Islam yang berbentuk ketuhanan mempunyai ciri istimewa yang tersendiri iaitu perubahan menyeluruh merangkumi niat dan pemikiran, akhlak, budaya, polisi dan pelaksanaan dengan manhaj dan cara yang amat sesuai dengan fitrah manusia dan Rahmat untuk seluruh alam.

Berbagai pendapat dan pandangan tentang perubahan dikemukakan, hingga menjadi satu keperluan bagi kita untuk menetukan pemahaman yang sebenar agar ianya tidak menjadi suatu konsep yang salah. Perubahan Rabbani (ketuhanan) bukanlah suatu polemik mahu pun fenomena politik, juga bukanlah dengan melarang sebahagian larangan syariah atau melaksanakan sebahagian syariah Allah SWT. perubahan Rabbani tersebut juga bukanlah dengan menegakkan kebenaran dan haq tanpa menghapuskan kebatilan.

Perubahan-perubahan ke arah kemajuan yang Rabbani tidak mungkin akan bercanggah dengan “kepastian” ilmiah atau bertentangan dengan kemajuan teknikal. Sesungguhnya perubahan tersebut adalah meruntuhkan jahiliah dari sudut pemikiran, peraturan dan prinsip. Ini bererti pelaksanaan ‘ubudiyah kepada Allah SWT. secara total dan sebenar di dalam semua perkara dalam urusan kehidupan individu dan awam. Maka ianya berakar umbi secara menyeluruh dan meresap ke setiap lapangan dan bidang dalam rangka melaksanakan tugas dan peranan manusia sebagai khalifah di bumi.

Kaitan khalifah dan syariah Islam

Walau pun manusia dijadikan dengan ciri-ciri istimewa serta melayakkannya menjadi khalifah sebagai pentadbir dan pemakmur bumi seperti yang telah dibincangkan tetapi mereka tetap tidak dapat lari daripada sifat makhluk iaitu kekurangan. Mereka dijadikan oleh Allah SWT. bersifat lemah, bimbang dan bakhil (untuk berbakti) seperti mana FirmanNya :
وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا(28)
“kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (An-Nisa’ : 28).

Bagaimana hebat sekalipun manusia dia tetap bermula dengan lemah dan kesudahannya juga lemah. Firman Allah SWT:
اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ(54)
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Ar-Rum : 54).

Oleh itu manusia yang sebenarnya hebat adalah mereka yang menyedari dan mengenali diri sebagai khalifah, bertindak segigihnya melaksanakan tanggungjawab memakmurkan alam. Dia berusaha memajukan diri masyarakat dan alam untuk kesejahteraan sejagat berpandukan ajaran Ilahi. Dia memaksimumkan kemampuan yang dimiliki malah melewati upaya manusia bersenjatakan ilmu wahyu menerobos ke alam kebenaran. Tanpa wahyu, diri dan akalnya tidak akan ke mana sering kali dibelai nafsu dan dinodai oleh syaitan setiap masa.

Manusia perlulah menyedari dan menerima hakikat ini. Mereka perlu menerima dan mengamalkan syariat Allah SWT. keseluruhannya, tanpa memilih perkara yang disukai dan digemarinya sahaja. Firman Allah SWT:
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ(85)
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. (Al-Baqarah : 85).

 Walaupun secara khusus, al-Kitab di dalam ayat tersebut menyasarkan kepada orang-orang Yahudi di mana sepatutnya mereka menyakini “keseluruhan” Kitab Taurat, tetapi secara amnya ayat tersebut juga merangkumi umat Muhammad  SAW. (umat akhir zaman) kerana ayat sebahagian daripada keseluruhan al Quran, pedoman kita umat Islam. Kita sepatutnya mmeyakini, menerima dan melaksanakan keseluruhan al Quran. Jejak Yahudi tersebut iaitu menerima hanya sebahagian ajaran kitab akan menyesatkan diri dan umat.

 Syariah Allah SWT. yang perlu dilaksanakan diperjelaskan kepada manusia menerusi RasulNya agar manusia tetap di jalan yang benar berpandukan wahyuNya. Oleh itu Kitab Allah dan ajaran RasulNya tidak boleh sama sekali dipisahkan atau dirujuk berasingan. FirmanNya dalam surah al Hashr 59: 7 bermaksud:
وَمَا آتَاكُمْ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah ( SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. (Al-Hasyr : 7).

Matlamat Kejadian Manusia: Hamba

Siapakah dia manusia itu pada hakikatnya? Manusia adalah hamba, hamba kepada Allah Maha Pencipta, kerana setiap yang dicipta itu pada hakikatnya adalah hamba kepada Allah yang menciptanya. Sebagai hamba, maka manusia tidak mempunyai apa-apa ke atas dirinya, tenaganya dan juga ke atas apa yang dihasilkan olehnya. Kesemuanya itu adalah menjadi hak milik kepada tuannya, iaitu Allah SWT. hidup dan matinya, sembahyangnya dan musuhnya, nyawa dan hartanya, anak dan isterinya adalah hak kepunyaan Allah, yang sewajibnya diperlakukan untuk Allah dan kerana Allah. (Haron Din, 1986:17)

Menepati hakikat sebagai hamba, maka sudah pastilah manusia mesti tunduk patuh, taat setia, mengikut dan menurut perintah Allah Maha Pencipta. Jika segala ciptaan di langit dan di bumi pada hakikatnya menyerah diri kepada Allah; maka alangkah lebih layak dan berhak manusia itu, sebagai sifatnya hamba Allah yang istimewa itu sujud dan menyerah diri kepada Allah dan itulah intipati atau saripati Islam sebagai Agama Allah.
إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِي لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ(79)
"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)". (Al-An’am : 79).

Sesungguhnya umat manusia diberikan kewajipan utama pada hari pertama mereka diberi hak tinggal di bumi ini. Di antara kewajipan-kewajipan pokok ialah bahawa mereka mesti patuh mengabdikan diri kepada Allah dan mesti berpandukan kepada panduan Allah.
قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا جَمِيعًا فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ(38)
“Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita". (Al-Baqarah : 38).

Allah SWT. juga memberi amaran yang tegas dan nyata supaya mereka jangan sekali-kali mengabdikan diri kepada syaitan, sebaliknya mereka mestilah mengabdikan diri kepada Allah sahaja.
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَابَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ(60)وَأَنْ اعْبُدُونِي هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ(61)
"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! "Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. (Yaasin : 60,61).

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِي(56)
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Zariyat : 56).

Dari ayat-ayat di atas ternyata sekali bahawa matlamat penciptaan manusia adalah untuk satu tujuan sahaja iaitu supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan sebenar-benarnya. (Abdul Kadir Andah, 1983:47)


Takrif Ibadah.

 Dari segi bahasa ibadah ialah merendah diri, tunduk patuh dan taat (A.A.Maududi, 1974: 30). Dan menurut syarak ibadat diertikan sebagai taat, tunduk patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah SWT.. Syeikh Ibn Taimiyah (Yusuf al-Qardhawi, 1978: 19) pula dalam kitab ‘Ubudiyyahnya ada menyatakan bahawa: ibadah asal maknanya kehinaan tetapi ibadat yang diperintah Allah atau yang disyiarkan ke atas manusia merangkumi makna kehinaan dan kecintaan bersama iaitu kemuncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dengan Allah dan kemuncak kecintaan kepadaNya. Juga terdapat ahli tafsir seperti At-Tabari yang menjelaskan maksud beribadah kepada Allah seperti berikut: iaitu khusyuk kepadaNya merendah diri dan tetap hati kepadaNya.

 Kesimpulannya, ibadah ialah keyakinan, sikap, amalan dan keadaan yang memenuhi makna-maknanya yang disebutkan tadi dalam hubungan manusia dengan Allah SWT. (Abu Urwah, 1986: 63)

3) Keluasan ibadat dalam Islam.

Ruang ibadah di dalam Islam amat luas sekali. Ia merangkumi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan baik yang bersangkutan dengan individu mahupun dengan masyarakat boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah SWT. jika memenuhi syarat-syarat tertentu. Ibadah dalam Islam terbahagi kepada dua:

a) Ibadah khusus. Adalah merupakan sekumpulan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Islam dan juga seumpamanya seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, tilawatul Quran, zikir dan sebagainya.
b) Ibadah umum: Segala perkara atau pekerjaan selain dari yang tersebut di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT,

Kedua-dua bahagian ini melengkapkan pengertian ibadah yang sebenar di dalam Islam. Ianya juga menunjukkan kesyumulan Islam. Sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT. di dalam al-Quran
مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ
“Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; (Al-An’am : 38).

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ(89)
“dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam. (An-Nahl : 89).

 Untuk sesuatu amalan itu dijadikan sebagai ibadat kepada Allah SWT perlulah ianya memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

(1) Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam, sesuai dengan hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut, adapun amalan-amalan yang diingkari Islam seperti kerja yang ada hubungannya dengan riba’ dan tari-menari atau sebagainya maka tidaklah sekali-kali menjadi ibadah, kerana Allah bersifat bersih dan baik dan tidak menerima amalan yang kotor kecuali yang baik dan bersih sahaja.

(2) Amalan-amalan yang dikerjakan dengan niat yang baik pula sebagai seorang Muslim bagi memelihara kehormatan dirinya, bagi menyenangkan keluarganya, bagi memanfaatkan umatnya dan bagi memakmurkan bumi Allah sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah SWT.

(3) Amalan-amalan itu hendaknya dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati kehendak-kehendak hadith Nabi  SAW. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim yang bererti: “Sesungguhnya Allah mewajibkan kebaikan pada tiap-tiap sesuatu.” Dalam hadith yang lain pula Rasulullah  SAW. bersabda: “Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat suatu kerja di mana dia memperelokkan kerjanya itu.”

(4) Ketika membuat kerja-kerja hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang.

(5) Dan syarat kelima dalam mengerjakan amalan-amalan dunia itu tidak lalai dan tidak cuai dari menjalankan kewajipan ibadat yang khusus seperti sembahyang, puasa dan sebagainya sesuai dengan Firman Allah SWT. dalam ayat 9 Surah Al Munafiqun:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْخَاسِرُونَ(9)
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
(Al-Munafiqun : 9).

Firman Ta’ala lagi dalam surah An-Nur ayat 37:

رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوب
ُ وَالْأَبْصَارُ(37)
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (An-Nur : 37).

Jadi, bila sahaja seorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari, dia adalah dikira sentiasa beribadah kepada Allah meskipun dia tidak duduk di masjid-masjid atau di surau-surau ketika membuat kerja-kerja itu.

Kepentingan Ibadah Dalam Islam

 Ibadah dalam Islam adalah merupakan tali penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya dan juga sebagai bukti pengakuannya sebagai hamba Allah. Ibadah adalah hak Allah kepada hambanya dan ibadah yang terpenting di antara ibadah itu ialah sembahyang.

 Ibadah ini harus dipelihara dengan sebaik-baiknya dan orang lain diajak untuk beribadah dan sekali-sekali ibadah itu tidak boleh dianggap tidak penting. Ibadah ini secara umumnya untuk memperkuatkan keimanan dan menanam iman itu ke dalam setiap jiwa orang yang muslim. Ibadah sangat penting bagi manusia seperti air bagi tumbuh-tumbuhan, dan iman seeorang akan bertambah kalau ibadah itu dilaksanakan. (Abdul Karim Zaidan, 1984: 51)

Skop Ibadah

Apabila kita faham bahawa agama dan seluruh ajarannya adalah ibadat dan kita tahu bahawa agama Islam membawa sistem hidup yang lengkap bagi manusia dari segi lahiriah dan ruhaniah serta membataskan gerak-geri manusia dan perhubungan antara mereka sesuai dengan sistem ciptaan Ilahi maka tahulah kita bahawa ibadat kepada Ilahi adalah meliputi hidup seluruhnya dan merangkumi segala urusannya termasuklah adab susila dan kesopanan mulai dari makan minum dan masuk tandas hinggalah kepada urusan pembentukan negara, politik pemerintahan, urusan kewangan dan ketenteraan, hal ehwal perhubungan antara manusia dan tindakan-tindakan ke atas mereka yang bersalah bahkan ibadat-ibadat meliputi segala asas bagi perhubungan antarabangsa sama ada dalam masa perang atau dalam masa damai.

Kita dapati kitab al Quran al Karim sering menghadapkan perintah-perintah dan hukum-hukum syariah kepada hamba-hambaNya yang beriman dalam berbagai aspek hidup. Umpamanya dalan satu surah iaitu Surah al Baqarah sahaja kita temui sejumlah tugas atau kewajipan-kewajipan yang ditetapkan ke atas orang-orang yang beriman dengan lafaz yang bererti diwajibkan ke atas kamu dan cuba kita baca ayat-ayat yang berikut dari surah al Baqarah.

1. Ayat 178
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh”

2. Ayat 180
كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمْ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ(180)
“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.

3. Ayat 183
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ(183)
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

4. Ayat 216
كُتِبَ عَلَيْكُمْ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ(216)
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

 Semua perkara tersebut di atas iaitu qisas, wasiat, puasa dan perang fi-sabilillah adalah kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan Allah ke atas hamba-hambaNya, oleh yang demikian hendaklah mereka beribadat menyembah Allah dengan melaksanakan kewajipan-kewajipan tersebut dan sentiasa terikat kepadaNya.


 Dengan kenyataan ini jelaslah suatu hakikat yang mana di kalangan orang-orang Islam sendiri ramai yang jahil terhadapnya. Mereka tidak faham dari erti ibadat melainkan sembahyang, puasa, zakat, haji dan umrah serta lain-lain ibadat yang seumpamanya seperti zikir dan doa. Mereka tidak menyedari adanya pertalian yang erat di antara perkara-perkara itu dengan ikhlas, susila, adab sopan, peraturan dan undang-undang atau adat dan tradisi.


Kesimpulan

 Sesungguhnya beribadat kepada Ilahi tidaklah terbatas pada mengerjakan sembahyang, puasa, haji dan perkara yang ada kaitan dengannya seperti membaca al Quran, berzikir, berdoa dan beristighfar sebagaimana fahaman setengah-setengah golongan Islam. Kebanyakan mereka menyangka bahawa bila mereka telah menunaikan fardu-fardu syiar Islam bererti mereka telah menyempurnakan segala hak Allah dan kewajipan ubudiyah terhadapnya.


 Sebenarnya syiar-syiar agama yang besar dan rukun asasi bagi pembentukan Islam itu walau bagaimana penting dan tinggi statusnya ia hanya sebahagian daripada jenis ibadat kepada Allah, bukanlah ianya merupakan seluruh ibadat yang dikehendaki Allah daripada hamba-hambaNya. Benarlah bahawa manusia yang dicipta Allah di atas asas dan tujuan beribadat kepadaNya dan menjadikan ibadat itu matlamatnya dalam hidup dan tanggungjawab di atas muka bumi adalah mempunyai daerah ibadat yang amat luas sekali iaitu daerah yang meliputi seluruh urusan kehidupan manusia.


1. KEDUDUKAN DAN KEMULIAAN MANUSIA

 Terdapat pelbagai pandangan mengenai kedudukan dan kemulian manusia antaranya:

i. Pandangan golongan materialis.
 Manusia dalam pandangan golongan materialis hanyalah merupakan sekepal tanah di bumi. Dari bumi asal kejadiannya, di bumi dia berjalan, dari bumi dia makan dan ke dalam bumi dia kembali. Dari tanah kembali menjadi tanah! Manusia itu pada pandangan mereka, tidak lebih dari segumpal daging, darah, urat, tulang, urat-urat darah dan alat percernaan. Akal dan fikiran dianggap barang atau benda yang dihasilkan oleh otak. Pandangan mereka hanya kepada benda, dan hanya mempercayai adanya benda-benda yang dapat diraba (Yusuf Al Qardawi, 1985: 57)

 Mereka menganggap tidak ada istimewa dan tidak ada bezanya manusia dari bermacam makhluk hidup di muka bumi ini, bahkan dimasukkan ke dalam bangsa kera (Teori Darwin) setelah melalui masa yang panjang, ia berubah menjadi manusia. Pandangan ini menimbulkan kesan, seolah-olah manusia ini makhluk yang rendah dan hina, sama dengan haiwan-haiwan yang lain, yang hidupnya hanya untuk memenuhi keperluan semata-mata. Tidak lebih dari itu! Pandangan mereka tentang hidup ini disebutkan sebagai kesesatan dalam Al Quran.

Firman Allah SWT:
وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ وَمَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ(24)
“Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata”. (Al-Jaathiah : 24).

ii. Pandangan golongan yang beriman.

Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا(70)
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”. (Al-Isra’ : 70).

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT. telah memuliakan manusia daripada Nabi Adam a.s iaitu diajar dengan dengan semua nama (ilmu), diperintahkan malaikat untuk sujud kepadanya, ditempatkan seketika di dalam syurga sebelum diutus ke bumi sebagai khalifah dan diterima taubat dan keampunan kepadanya.

 Allah SWT. juga telah memuliakan Bani Adam dengan sebaik-baik ciptaan, diberikan rezeki yang baik, dikurniakan akal dan ilmu, dijadikan khalifah (penguasa) di bumi dan menjadi Pusat kegiatan dalam alam ini serta dikurniakan sebagai nikmat yang tidak terhitung oleh manusia.

Firman Allah SWT:
وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ(18)
‘Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (An-Nahl : 18).

2. KEISTIMEWAAN MANUSIA

i. Sebaik-baik ciptaan

 Allah SWT. telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan.
Firman Allah SWT:
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ(4)
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin : 4).

 Terdapat dua unsur penting dalam penciptaan manusia iaitu unsur rohani dan jasmani. Kedua unsur ini dijadikan Allah dalam keadaan seimbang. Unsur rohani manusia terdiri daripada roh, kalbu, akal dan nafsu.

 Menurut Al Quran, sebelum roh manusia ditiupkan ke dalam jasmaninya, Allah SWT. telah mengajak mengadakan suatu perjanjian Al Quran mengistilah perjanjian ini dengan “Ahdullah”.

Dalam surah Al A’raf ayat 172-173 Allah berfirman:
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ(172)أَوْ تَقُولُوا إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِنْ قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِنْ بَعْدِهِمْ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ(173)
Maksudnya:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?" (Al-A’raf : 172,173).

Berdasarkan maksud ayat di atas dapat disimpulkan bahawa manusia sewaktu di alam roh sudah mengadakan suatu perjanjian dengan Allah iaitu janji pengakuan bahawa Allah ialah Tuhannya. Waktu itu manusia sudah menyifatkan sifat-sifat ketuhanan. Menurut Kiai M. A. Mahfudz, ada empat unsur rasa yang terdapat di dalam rohani manusia sebagai bukti bahawa ia sudah pernah menyaksikan sifat-sifat ketuhanan itu, iaitu:
a. Rasa takut. Kerana menyaksikan kemahakuasaan dan kemahagagahan Tuhan.
b. Rasa harap, kerana menyifatkan sifat Rahman dan rahimnya Tuhan.
c. Rasa ketuhanan (keagamaan), kerana menyaksikan sifat ketuhanan secara keseluruhan.

 Perjanjian ini dibuat oleh Allah SWT. supaya sekiranya dipersoalkan di akhirat kelak tidak timbul segala jawapan seperti berikut:
a. Kami belum kenal dengan Mu.
b. Yang salah itu adalah orang tua kami.
(Drs. Syahminan Zaini, 1980: 41)

 Hujjatul Islam, Imam Al Ghazali juga telah menjelaskan: hati atau kalbu adalah raja yang memerintah manusia, akal sebagai wazir atau menteri penasihat kepada hati dan nafsu sebagai hamba yang jahat, sentiasa mendorong ke arah kejahatan.

 Di sini kita dapat membuat perbandingan sekiranya seorang raja (hati) itu memerintah berdasaskan nasihat yang diberi oleh menteri (akal) yang bijak dan tidak terpedaya dengan godaan hamba sahaya yang jahat (nafsu), maka berjayalah seorang insan itu. Sebaliknya jika raja itu memerintah mengikut manusia itu. Ini bersesuaian dengan Sabda Rasulullah  SAW:

 Al Quran juga mendorong manusia untuk berfikir tentang sesuatu dengan sedalam-dalamnya, antara lain dengan kata-kata:
“Adakah engkau tidak melihat?”
“Adakah engkau tidak berfikir?”
“Adakah kamu tidak memerhati?”
dan sebagainya, sehingga sampai kepada Kesimpulan bahawa segala sesuatu ini ada Penciptanya, iaitu Allah dan diciptakan dengan maksud dan tujuan bukan percuma.

Firman Allah:
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ(190)الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ(191)
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Ali Imran : 190,191).

 Walaubagaimanapun akal manusia ini perlulah dipandu dengan wahyu Ilahi kerana manusia lebih cenderung kepada haiwan yang tidak berakal dan akan jadi seperti binatang ternak malah lebih sesat dari itu. Allah SWT. merakamkan dalam firmanNya:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنْ الْجِنِّ وَالْإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَئِكَ هُمْ الْغَافِلُونَ(179)وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raf : 179).

Kesimpulannya:

Akal manusia terbahagi kepada dua iaitu:
i) Akal juz’i – serpihan atau kecil
ii) Akal kulli - menyeluruh

Kebanyakan manusia melihat sesuatu hanya mengikut pandangan akal juz’i sahaja. Akan tetapi manusia akan menjadi insan yang istimewa sekiranya dia melihat sesuatu itu menggunakan akal kulli, contohnya apabila ia melihat atau memikirkan siapakah yang hanya memberi rezeki kepadanya tetapi ia dapat memikirkan siapakah yang memberikan rezeki, tujuan ia makan dan sebagainya. Di samping itu dengan menggunakan akal kulli ini juga boleh sampai kepada pengetahuan tentang adanya alam akhirat berpandukan wahyu Ilahi:

iii. Ilmu Pengetahuan
 Ilmu pengetahuan adalah antara anugerah Allah yang paling istimewa kepada manusia. Ini dapat dibuktikan dengan perlantikan Adam sebagai khalifah di muka bumi kerana Allah memberikannya ilmu dan tidak diberikan kepada makhluk lain. Memang sewajarnya jawatan tinggi atau khalifah itu dipegang oleh orang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak, melebihi orang yang dipimpinnya. (Alias Shamsudin, 1999: 33.). Ini dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya:
وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاء إِنْ كُنتُمْ صَادِقِينَ(31)
“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar". (Al-Baqarah : 31).

 Nama-nama yang dimaksudkan di atas ialah ilmu, kerana setiap nama pasti ada benda atau sesuatu yang dinamakan dan untuk memberi nama pada sesuatu itu ialah setelah diketahui tentang sifat dan tabiatnya. Kalimah ilmu di sini ialah ilmu alam tabii dan alam ghaib. Manusia mampu mengetahui sesuatu perkara melalui pencarian, pengamatan atau penyeledikan.

 Dalam usaha mencari ilmu perlulah dilakukan dengan kesungguhan dan keikhlasan berhubung soal duniawi dan ukhrawi. Pencarian ilmu kerana tujuan kemegahan atau kemaksiatan tidak diredhai Allah SWT. Imam Syafie pernah menyebut yang bermaksud:

 “ Ilmu itu cahaya dan tidak akan diberi kepada orang yang maksiat”

 Kepentingan ilmu kepada manusia amatlah besar kerana ia dapat menjadikan manusia itu kenal siapa dirinya dan penciptanya (Allah), mensyukuri nikmatNya, membezakan halal dan haram menjalankan kehidupan seharian dan sebagainya. Perasaan takut kepada Allah akan lahir disebabkan manusia kenal siapa dirinya dan ini mendorong Beliau melaksanakan suruhan dan meninggalkan laranganNya. (Yusof al Qardhawi, 1999:80). Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah  SAW. bersabda:
من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
Maksudnya : “Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah untuknya nescaya diberikan kefahaman dalam agama.”


Seseorang yang melakukan sesuatu amalan tanpa ilmu akan sia-sia sahaja. Begitu juga berilmu tetapi tidak diamalkan akan menjadi sia-sia. Menurut kata-kata hukama’:
" العلم بلا عمل كالشجر بلا ثمر "
Maksudnya : “Ilmu tanpa amal seperti pokok yang tidak berbuah”.

 Tanpa ilmu pengetahuan, seseorang itu akan kehilangan arah dan melakukan sesuatu tindakan tanpa panduan. Amat benar ucapan khalifah Umar bin Abdul Aziz:
“Sesiapa yang melakukan sesuatu pekerjaan tanpa ilmu pengetahuan berkenaan dengan perkara itu maka apa yang dia rosakkan adalah lebih banyak daripada apa yang dia lakukan”. (Yusof al-Qardhawi, 1999 : 82).

 Memandangkan betapa pentingnya ilmu pengetahuan maka ianya perlu di cari atau diusahakan kerana ianya tidak datang dengan sendiri. Ulama menyebut:
العلم يؤنى ولا يأتي
Maksudnya : “Ilmu itu perlu dicari dan bukannya mendatang”.

 Faktor itulah juga menyebabkan ulama-ulama terdahulu seperti ulama Syafie sanggup berkorban dengan mengembara beribu batu untuk keluar mencari ilmu. Ianya menjadi pengajaran kepada kira hari ini supaya mencari, mendalami, membuat penyeledikan agar kita mendapat manfaat dari ilmu Allah walaupun kita mempunyai berbagai kemudahan seperti komputer dan sebagainya.

iv. Kemudahan Alam

 Manusia adalah punca Allah SWT. menciptakan alam. Samaada alam nyata atau alam ghaib (Mahayudin Hj Yahaya, 1998:4). Dengan penciptaan alam ini, manusia dapat memanfaatkannya untuk menjalankan tugas sebagai khalifah Allah seperti bercucuk tanam, menternak dan lain-lain. Penciptaan alam untuk kemanfaatan manusia ini dirakamkan oleh Allah SWT. dalam firmanNya:
اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنْ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنْ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ وَسَخَّرَ لَكُمْ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَسَخَّرَ لَكُمْ الْأَنهَارَ(32)
“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). (Ibrahim : 32)


 Berdasaskan dari ayat di atas, manusia diberi kekuatan, kekuasaan dan kemampuan untuk memanfaatkan alam ini sebanyak mungkin. Ianya seolah-olah segala sesuatu dalam alam ini, disusun dan diatur oleh Allah untuk kepentingan manusia. Kemajuan dunia di lapangan ilmu dan teknologi membuktikan bahawa Allah benar-benar menciptakan alam ini untuk dimanfaatkan oleh manusia.


Kesimpulan

 Penciptaan alam ini adalah lambing keistimewaan manusia sebagai insan terbaik dan ianya dijadikan untuk menyempurnakan tugas manusia sebagai khalifah di dunia ini. Oleh itu manusia sewajarnya menjaga alam ini sebaik-baiknya.

v. Beragama

 Semua ciptaan Allah beredar, bergerak, berjalan menurut peraturan-peraturan dan ketentuan-ketentuan Allah yang sangat rapi dan halus. Alam buana seluruhnya adalah berjalan menurut sunnah Allah. Begitu juga manusia yang menjadi khalifah Allah di bumi mestilah hidup menurut hukum-hukum yang ditetapkan Allah demi keselamatan dan kesejahteraan baik di dunia dan di akhirat (Haron Din, 1988:29).

 Fitrah kejadian manusia adalah beragama dan fitrah Allah tidak berubah. Allah menegaskan dan FirmanNya:
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُون
َ(30)
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Ar-Rum : 30).

 Fitrah Allah Maksudnya, ciptaan Allah iaitu manusia diciptakan oleh Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama Tauhid. Sekiranya terdapat manusia yang tidak beragama maka itu adalah tidak wajar berlaku. Perkara ini berlaku disebabkan pengaruh persekitaran. (Al Quran Terjemahan, 1988:645)

 Oleh sebab itulah kita lihat manusia tidak menggunakn akalnya dan tidak berpandukan wahyu Ilahi akan menurut hawa nafsu di dalam mencari sesuatu untuk mengikut hubungannya dengan pencipta (Allah SWT). terdapat sebahagiannya menjadikan batu-batu, pohon-pohon atau binatang-binatang sebagai sembahan mereka atau mneolak terus untuk beragama. Sedangkan perkara ini bertentangan dengan perjanjian mereka di alam arwah surah al A’raf 172 yang mengatakan Allah adalah Tuhan mereka.

 Di samping itu agama yang menepati fitrah Allah adalah agama Islam kerana Allah sahaja mengakui dan meredhai Islam sebagai agama yang sebenar. Ini bertepatan dengan Firman Allah:
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.
 (Ali-Imran : 19).

Sesiapa yang memilih selain Islam tidak akan diterima. FirmanAllah:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْخَاسِرِينَ(85)
“Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Ali-Imran : 85).

Agama adalah perlu walaupun akal manusia boleh membuat dasar dalam menetukan nilai-nilai kebaikan dan kejahatan untuk dilaksanakan di dalam masyarakat dan negara. Ini kerana nilai-nilai dan undang-undang yang dibuat oleh akal dan fikiran manusia tidak mutlak, tidak sempurna dan tidak memenuhi muslihat seluruh manusia. Sebabnya fikiran manusia terbatas, manusia selalu dipengaruhi oleh hawa nafsu, dipengaruhi oleh alam sekitar, dipengaruhi oleh semangat kebangsaan, semangat mementingkan diri sendiri. Oleh itu perlembagaan yang mutlak adalah dari Allah. Agama tidak diberi kepada makhluk lain kecuali manusia dan inilah merupakan faktor terbesar keistimewaan manusia.

vi. Diutuskan Para Rasul dan Kitab

 Mempercayai kitab-kitab Allah adalah salah satu rukun dalam Islam. Kitab-kita Allah ini mengandungi segala pengajaran Allah yang disampaikan oleh para nabi dan rasul-rasul sama ada perintah, larangan, panduan dan sebagainya kepada mat mereka itu. Oleh sebab itu setiap muslim wajiblah mempercayai kitab al Quran dan kitab-kitab yang terdahulu daripadanya seperti Suhuf Ibrahim, al Zabur, al Taurat dan al Injil yang telah diturunkan kepada umat-umat terdahulu untuk membimbing mereka ke jalan yang benar (Haron Din, 1988:50)

 Persoalannya ialah kenapa para rasul dipilih di kalangan manusia. Jawapan sudah tentu makhluk lain tidak mempunyai kelayakan seperti yang dimiliki oleh manusia iaitu sebaik-baik ciptaan. Manusia juga mempunyai keistimewaan seperti akal, ilmu, beragama dan diputuskan rasul serta diberikan kitab.

Firman Allah:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا(72)
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Al-Ahzab : 72).


 Selain itu Rasul dipilih di kalangan manusia juga adalah untuk memudahkan manusia untuk menuruti perintah dan laranganNya kerana kebiasaannya kepimpinan adalah melalui teladan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا(21)
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (Al-Ahzab : 21).

Tauladan Rasulullah  SAW. juga dapat dilihat di dalam sunnah baginda sama ada melalui perbuatan, perkataan dan pengakuan. Allah SWT. sendiri mengiktiraf segalanya.

3. Masalah dan Cabaran Insan Muslim

 Menurut Prof. Dato’ Dr. Haron Din di dalam bukunya “Umat Islam Zaman Mutakhir Masalah dan Penyelesaian” hal: 95. di antara masalah umat Islam pada masa kini ialah tidak memahami tasawur Islam yang sebenar. Islam difahami pada hari ini mengikut ‘angin’ (mood) atau selera dan latar belakang masing-masing. Semua angin. Selera dan latar belakang ini berlainan di antara satu sama lain. Maka Islam yang difahami juga turut berlainan di antara satu golongan dengan golongan yang lain sama ada dari segi hakikatnya ataupun dari segi intisari Islam yang sebenarnya. Mereka kabur dari mana Islam bermula dan apakah ruang litupnya, apakah bidang geraknya dan di mana pula garis penamatnya perjuangan? Persoalan-persoalan ini merupakan masalah yang amat rumit kepada masyarakat umum. Oleh sebab itu ada yang menganggap memadai Islam itu dengan mengucap rukun Islam yang lima dan sebagainya.

Rentetan dari kurang jelas kepada tasawur Islam akan mengakibatkan perkara berikut:
i. Manusia tidak mengenali hakikat dirinya iaitu siapa yang menjadikan, kenapa, bagaimana dan kemana ia akan pergi selepas ini.
ii. Manusia juga akan mengabaikan ibadah fardhu ia dan lebih mengutamakan fardhu kifayah.
iii. Mereka akan menganggap atau mengagongkan akal. Seolah-olah akal lebih tinggi daripada wahyu Ilahi sedangkan akal tidak boleh mencapai atau mengetahui perkara sam’iyat seperti syurga, neraka dan sebagainya. Terlalu mengagongkan akal boleh membawa kepada kesesatan.
iv. Manusia juga menganggap undang-undang ciptaan manusia adalah lebih baik dan undang-undang ciptaan Allah dianggap lapok dan tidak sesuai atau ketinggalan zaman.
v. Manusia juga akan menjadi rakus dalam menggunakan sumber-sumber alam sehingga berlaku kerosakan dan pencemaran alam sama ada di darat, laut dan udara.
vi. Tumpuan hidup manusia adalah hanyalah kepada nilai-nilai model dan agama dilakukan kepada perkara-perkara ritual sahaja seperti kelahiran, perkahwinan dan kematian.

4. Penyelesaian

Di antara penyelesaiannya ialah:

i. Umat Islam perlulah memahami tasawur Islam yang sebenarnya.
ii. Menyedari hakikat diri, siapa yang menjadikan, kenapa bagaimana dan kemana mereka akan pergi. Dunia ini hanyalah sebagai ladang mereka menyediakan bekalan untuk hidup kekal di akhirat.
iii. Ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah perlulah diseimbangkan untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
iv. Menyedari bahawa akal mempunyai kelemahan. Oleh itu akal memerlukan wahyu Ilahi untuk mencapai kejayaan. Di samping itu perlu ada kesedaran bahawa undang-undang dan peraturan Allahlah yang terbaik.
v. Menyedari bahawa Allah menjadikan alam ini untuk kemudahan manusia dan mereka diamanahkan untuk menjaga dan mentadbir mengikut perintah Allah.
vi. Manusia juga perlu mengambil Islam secara keseluruhannya dan bukanlah dalam hal-hal atau dalam kepentingan tertentu sahaja. Firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً (208)
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; (Al-Baqarah : 208).

 Manusia juga perlu kembali kepada ‘shibghah’ atau celupan Allah.

Firman Allah:
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنْ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ(138)

“Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat". (Al-Baqarah : 138).

Shibghah bermaksud: celupan. Shibghah Allah: celupan Allah yang bererti beriman kepada Allah yang tidak disertai dengan kemusyrikan.

Bagaimana Untuk Mendapat Shibghah Allah

i. Makrifah
a. Iaitu mengenal Islam
b. Mengamalkannya
c. Istiqamah (berterusan)
d. Mempertahankan dengan jihad dan dakwah

ii. Mentauhidkan punca-punca hidayah dan nikmat sebab petunjuk hanya datang dari Allah sahaja.
iii. Tarbiyah atau latihan dari segi rohani, jasmani, akal dan akhlak untuk melaksanakan tarbiyah perlu kepada ‘biah’ atau suasana persekitaran yang aman dan sejahtera.
iv. ‘Basirah” atau perlu ada pengamatan yang luas (tidak melihat sesuatu mengikut pandangan zahir sahaja).
v. “Izzah” merasakan diri kita mulia atau Islam yang kita anuti adalah mulia sehingga menyebabkan kita berani mempertahankan Islam.
vi. Bertanggungjawab dan mencari kebenaran.
vii. Ketenangan jiwa.
viii. Mengetahui tujuan hidup iaitu hidup mencari keredhaan Allah.
ix. Melaksanakan perintah Islam untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Kesimpulan

 Setiap permasalahan yang dihadapi insan adalah jalan Penyelesaian dan jalan yang terbaik adalah kembali kepada Islam sebab Islam datang dari Allah SWT. yang Maha Agong dan Sempurna.

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA

PENDAHULUAN
Manusia adalah makhluk Allah SWT. yang paling istimewa dan sempurna, jika dibandingkan dengan makhluk-makhlukNya yang lain. Ini jelas sebagaimana yang terdapat dalam Firman Allah SWT. dan surah al Tin ayat 4:
خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ(4)
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin : 4).

Justeru kerana keistimewaan dan kesempurnaan kejadian manusia ini maka sudah tentulah manusia mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu yang perlu dilaksanakan di dalam memenuhi matlamat penciptaan mereka itu. Peranan dan tanggungjawab manusia ini adalah meliputi tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan terhadap:

i. Allah SWT.
ii. Diri sendiri
iii. Keluarga
iv. Masyarakat
v. Negara
vi. Alam

Untuk memudahkan perbincangan, kita akan melihat peranan dan tanggungjawab ini satu persatu secara lebih terperinci.

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA TERHADAP ALLAH SWT.

Pada dasarnya tanggungjawab manusia yang utama terhadap Allah SWT. ialah melaksanakan ibadah dengan mengabdikan diri secara tulus ikhlas kepadaNya. Peranan dan tanggungjawab ini terkandung di dalam Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِي(56)
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Zariyat : 56).

 Justeru itu semua Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang diputuskan oleh Allah SWT. adalah mempunyai risalah yang sama, iaitu menyampaikan seruan agar seluruh manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. dan menjauhi thaghut. Allah SWT. telah berfirman dalam Surah al Nahl ayat 36:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنْ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". (An-Nahl :36).

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Muslim dari Mu’az bin Jabal r.a. katanya : Saya mengekori Nabi  SAW. yang sedang menunggang seekor keldai. Tiba-tiba baginda bertanya kepada saya: “Wahai Mu’az, adakah engkau tahu hak Allah ke atas hambaNya?” Saya menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: “Hak Allah ke atas hambaNya ialah mereka wajib mengabdikan diri mereka kepadaNya dan tidak menyekutukan sesuatu apapun denganNya.

 Beribadah kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Firman Allah SWT. diataslah tidaklah terbatas kepada apa yang lazim difahami oleh masyarakat umum, iaitu hanya terbatas kepada solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadat khusus sahaja. Sesungguhnya ibadat yang dikehendaki adalah lebih luas dari itu, mencakupi kepatuhan kepada setiap perkara yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

 Ibadah atau pengabdian diri kepada Allah SWT. mempunyai beberapa takrifan. Menurut bahasa ibadah berasal dari bahasa Arab (عبد). Dari bahasa ia bermaksud patuh, taat, setia, tunduk dan mendambakan diri kepada sesuatu.

 Al Maududi menyatakan ibadah bermaksud pengabdian hal yang digambarkan melalui pelaksanaan atau amalan. Ibn Taimiah berpendapat ibadah merangkumi perasaan hina diri dan cinta kepada Allah SWT. yang melahirkan ketaatan kepadaNya.

 Skop ibadah dalam Islam adalah cukup luas, merangkumi segenap aspek kehidupan, malah semua amalan yang dilakukan sama ada amalan anggota, perkataan dan hati dikira ibadah selama mana ia menepati syarat0syarat yang ditentukan.

 Ulama Islam telah membahagikan ibadah kepada dua, iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. Ibadah khusus juga dikenali sebagai ibadah formal adalah ibadah yang mana struktur, sistem dan peraturan-peraturannya telah ditentukan oleh Islam secara lengkap dan terperinci. Bentuk dan cara perlaksanaannya tidak boleh direka-reka atau dilakukan mengikut kehendak sendiri, malah ia mestilah menepati syarat-syarat sahnya sesuatu ibadah itu. Umpamanya ibadah solat, puasa, zakat dan haji yang mempunyai syarat-syarat sahnya dan perkara-perkara yang membatalkannya yang tersendiri.


Ibadah Solat

 Perkataan solat berasal dari bahasa Arab (صلى) yang bererti doa dan pujian. Dari segi istilah pula solat bermakna menghadapkan jiwa kepada Allah SWT. dalam keadaan taqwa yang menimbulkan rasa keagunganNya, dengan penuh khusyuk dan ikhlas dalam beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan di akhiri dengan salam.

 Kewajipan solat adalah berdasarkan Firman Allah SWT.
فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا(103)
“Maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa’ : 103)

Antara kesan dari perlaksanaan ibadah solat yang sempurna ialah:
Ø Solat dapat mencegah seseorang daripada melakukan sesuatu amalan yang keji dan mungkar. Allah SWT. berfirman dalam Surah al Ankabut ayat 45:
وَأَقِمْ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
“Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; (Al-Ankabut : 45).

Ø Solat dapat membersihkan seorang muslim dari segi zahir dan batin. Dari segi zahirnya melalui penyucian diri dari hadath kecil dan besar, tempat dan pakaian serta wudhu. Dari segi batinnya pula ialah dengan pembersihan hati dari sesuatu yang lain dari Allah dengan penuh khusyuk dan ikhlas.

Ø Ibadat solat juga akan dapat mendidik seorang muslim tentang Pengurusan masa dan perlulah menepati waktu dalam semua perkara. Sewajarnya umat Islam mempergunakan masa dengan sebaik-baiknya sesuai dengan Sabda Rasululullah  SAW. yang bermaksud :
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara : masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum papa, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati”.

Ø Ibadat solat berjamaah pula akan dapat melatih umat Islam supaya taat kepada pemimpin (imam), Manakala pemimpin pula wajib mengambil berat terhadap rakyatnya (makmum). Di samping solat berjemaah juga dapat membentuk perpaduan, kasih saying, ukhuwwah dan persamaan sesama mereka. Ia juga akan dapat menghapuskan rasa hasad dengki, dendam dan permusuhan di kalangan umat Islam.

Ibadah Puasa

Puasa dari segi bahasa ialah menahan diri dari sesuatu. Dari segi istilah ia beerti menahan diri dari sesuatu yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari dengan syarat-syarat tertentu.

 Ibadat puasa ini diwajibkan kepada semua orang Islam yang cukup syarat-syaratnya.Allah SWT. berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 183 hingga 184:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ(183)أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(184)
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al-Baqarah : 183-184).

 Ibadah puasa ini mempunyai kesan yang besar di dalam kehidupan seorang Muslim,jika ia dilaksanakan dengan sempurna dengan menjaga adab-adabnya.Antaranya ialah:

q Puasa akan dapat menundukkan nafsu jahat dan dapat memelihara diri dari kejahatan syaitan. Keinginan hawa nafsu dan tuntutan jasmani yang melampaui akan dapat dihindarkan.
q Akhlak mulia akan terbentuk dengan berpuasa, sifat-sifat mahmudah seperti sabar, ikhlas, menepati waktu, pemurah,memelihara lidah dan amalan yang keji akan menjadi perhiasan diri mereka.
q Puasa akan melahirkan sifat taqwa dengan memperbanyakkan amalan tilawatul Quran, berdoa dan ibadah-ibadah sunat yang lain.
q Dengan berpuasa juga jasmani akan menjadi sihat, di samping menguatkan rohani.
q Puasa akan dapat melahirkan sifat kasihan belas.tolong-menolong dan sanggup menghadapi cabaran hidup.

Ibadat Zakat

Zakat dari segi bahasa bermakna subur,bersih dan berkembang.Menurut istilah syarak pula zakat bermaksud kadar yang harta tertentu yang eajib dikeluarkankepada golongan yang berhak menerimanya dengan syarat0syarat yang tertentu.
 Kewajipan zakat adalah jelas dari firman Allah SWT.
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا
"Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); (At-Taubah : 103).

Kesan yang boleh didapati dari perlaksanaan amalan zakat ini ialah:
ü Zakat akan dapat membersihkan jiwa dari terlalu mencintai harta dan sifat tamak haloba dan kedekut.
ü Zakat akan memberi jaminan sosial terhadap masyarakat kerana dengan itu harta benda akan diagih dengan seimbang kepada semua golongan dalam masyarakat.
ü Zakat akan menguatkan kedudukan politik dan ekonomi negara di samping dapat merapatkan hubungan antara orang-orang kaya dan miskin..

Ibadat Haji

 Dari segi bahasa haji beerti pergi atau menuju.Dari segi istilah pula ia bermaksud mengunjungi Baitullah dengan niat untuk mengerjakan ibadah kepada Allah dengan rukun-rukun dan syarat-syarat yang tertentu dan dikerjakan pada masa yang tertentu.

Antara kesan yang boleh didapati dari perlaksanaan ibadah haji yang sempurna ialah:
v Ibadah haji akan dapat memperteguhkan keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT. di samping mewujudkan rasa keagungan dan kebesaran Allah SWT. terutama melalui ucapan talbiah.

v Ia juga adalah perhimpunan tahunan umat Islam di seluruh dunia yang akan mewujudkan rasa perpaduan, persamaan dan ukhuwwah sesama mereka.

v Ibadah haji juga dapat membentuk disiplin yang tinggi melalui tegahan dan larangan ketika berihram merupakan satu cabaran kepada fizikal dan spiritual manusia.

v Iktibar dari sejarah juga boleh didapati oleh orang-orangyang melaksanakan ibadah haji di mana mereka berada di tempat awal kewujudan Islam di samping memenuhi perintah Allah seperti mana yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan putera baginda, Nabi Ismail a.s.


Kesemua ibadah-ibadah khusus yang menjadi rukun Islam ini perlulah dilaksanakan sebgai memenuhi tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT. di samping itu juga terdapat banyak lagi ibadah-ibadah khusus yang perlu dilakukan untuk memperlengkapkan lagi tuntutan terhadap dua kalimah syahadah yang dilafazkan seperti al Quran, ibadat-ibadat sunat yang lain yang kesemuanya akan menambahkan keimanan kepada Allah SWT.

 Selain dari ibadah khusus dibincangkan dengan agak terperinci terdapat pula ibadah umum yang merupakan pengabdian diri secara tidak lansung kepada Allah SWT. melalui urusan kehidupan dunia yang menyangkut hubungan sesama manusia dan makhluk-makhluk Allah SWT. yang lain berlandaskan akidah dan syariat Islam.

Pendeknya semua amalan yang dilakukan adalah dikira sebagai ibadah asalkan ia menepati syarat-syarat yang ditentukan antaranya:
· Pekerjaan atau perubahan itu mestilah diniatkan ikhlas kerana Allah SWT. semata-mata. Perbuatan yang dilakuakan kerana riya’ atau mempunyai muslihat yang tertentu tidaklah dikira sebagai ibadah.

· Amalan yang dilakukan juga mestilah tidak bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu kerja-kerjaharam seperti menjual arak, menguruskan kedai-kedai judi atau kelab-kelab malam adalah dilarang dalam Islam.

· Pekerjaan atau amalan yang dilakukan itu tidak menghalang seseorang dari melaksanakan tanggungjawab asasi sebagai seorang Muslim seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Dalam hal ini Allah SWT. telah berfirman dalam Surah al Nur ayat 37:

رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (An-Nur : 37).

· Amalan yang dilakukan juga mestilah dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Ini berteapatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al Baihaqi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT suka jika seseorang itu bekerja maka ia bekerja dengan tekun (memperelokkan kerjanya”.

PERANAN DAN TANGUNGJAWAB TERHADAP DIRI

 Adalah menjadi tanggungjawab ke atas setiap individu terhadap dirinya sendiri untuk melakukan penyucian dan pengislahan ke arah yang lebih baik, demi untuk kesejahteraan hidup mereka di dunia dan akhirat. Di anatara cara-cara yang perlu dilakukan ialah menuntut ilmu dan memelihara hak-hak diri.

 Ilmu adalah suatu alat yang penting untuk menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. tanpa ilmu seseorang itu tidak akan dapat membezakan anatara hak dan batil, baik dan buruk dan yang mana perlu didahulukan dan yang mana pula harus dikemudiankan. Ilmu yang mesti diberi penekanan dalam Islam meliputi ilmu-ilmu fardhu ain dan juga ilmu fadhu kifayah.

 Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang berkaitan dengan Allah SWT. dan RasulNya. Ianya perlu didalami untuk memastikan kesempurnaan hubungan anatra hamba dengan penciptanya melalui ibadah-ibdah yang khusus.

 Di samping Mempelajari ilmu-ilmu fardhu ain, umat Islam juga dikehendaki tidak meninggalkan ilmu-ilmu fardhu kifayah yang berhubng dengan kehidupan seharian seperti ilmu yang berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kedua-kedua ilmu (fardhu ain dan kifayah) ini adalah penting dalam usaha untuk meraih kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh al Quran yang menganjurkan supaya kita berdoa dan berusaha ke arah kesejahteraan hidup, di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ(201)
“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al-Baqarah : 201).

 Memelihara hak diri dari segi agama adalah meliputi penjagaan diri dari terjebak ke lambah syirik, melakukan amalan khurafat dan maksiat. Allah SWT. telah berfirman tentang keburukan amalan syirik dan menegaskan tentang dosa syirik yang tidak mungkin diampuni sebagaimana firman Allah SWT.
إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ(13)
“Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Luqman : 13).

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya).
(An-Nisa’ : 116).

Setiap manusia perlulah juga menjaga dirinya dan perkara-perkara yang mengancam keselamatan jiwanya serta jiwa orang lain dengan menjauhi dari amalan membunuh diri dan orang lain. Perbuatan membunuh adalah dosa besar yang selalu dihubungkan dengan dosa syirik. Rasulullah  SAW. telah bersabda yang bermaksud:
“Dosa yang paling besar ialah menduakan Allah (syirik) dan membunuh manusia”.


 Walaubagaimanapun Islam mengharuskan hukum membunuh jika ada sebab-sebab yang tertentu speperti hukuman qisas (bunuh balas). Allah SWT. berfirman dalam surah Al An’am ayat 151:
وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ
“..dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). (Al-An’am : 151).

 Manusia adalah makhluk Allah yang dicipta dengan sebaik-baik kejadian. Oleh kerana itu mereka perlulah memelihara maruah mereka agar tidak terjerumus ke lembah yang hina seperti melakukan kejian, hinaan, umpatan dan celaan kepada orang lain serta menjauhkan diri dari kekejian zina dan menuduh orang lain dengan tuduhan zina. Allah SWT. telah berfirman dalam hal kekejian zina ini di dalam al Quran, Surah al Isra’ , 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا(32)
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Al-Isra’ : 32).

 Di antara keistimewaan manusia yang dilantik oleh Allah SWT. sebagai hamba Allah SWT. di muka bumi ini ialah disebabkan manusia mempunyai akal fikiran. Dengan akal dan ilmu manusia dapat membezakan yang mana baik dan buruk, Justeru itu menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk menjaga kewarasan akal mereka dengan tidak meminum minuman keras dan menagih dadah. Allah SWT. telah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 90 yang melarang umat Islam dari meminum minuman keras.
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ(90)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Al-Maidah : 90).

 Islam tidak melarang umatnya mencari sebanyak mungkin harta, tetapi mestilah dengan cara yang halal, tidak menipu, rasuah, memakan riba, mencari, merompak dan sebagainya. Larangan-larangan di atas adalah demi memelihara kesucian harta seseorang. Pemeliharaan di atas juga meliputi kewajipan amalan zakat harta dan fitrah, juga membelanjakan harta ke jalan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 195:
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil (Al-Baqarah : 195).

TANGGUNGJAWAB TERHADAP KELUARGA

 Sebuah keluarga biasanya terdiri daripada ibu bapa, suami, isteri dan juga anak-anak. Keharmonian dan kesejahteraan keluarga hanya akan terbina apabila setiap mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing kepada mereka yang berhak. Adalah menjadi tanggungjawab semua anggota keluarga untuk memastikan mereka terpelihara daripada azab api neraka. Allah SWT. berfirman dalam surah Al Tahrim ayat 6:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka (At-Tahrim : 6).

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak

 Tanggungjawab ibu bapa yang paling utama terhadap anak-anak mereka ialah untuk memastikan agar mereka beriman kepada Allah SWT. dan tidak sekali-kali mensyirikkanNya dengan sesuatu. Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka (At-Tahrim : 6).

 Ibu bapa juga mestilah melatih anak-anak mereka mengerjakan solat bermula dari umur mereka tujuh tahun. Rasulullah  SAW. telah bersabda yang bermaksud:

“ Ajarlah anak kamu melakukan solat bila berusia tujuh tahun dan pukullah jika ia tidak solat bila berumur sepuluh tahun”.

 Akhlak yang mulia seperti yang diamalkan oleh Rasulullah  SAW. perlulah disemai ke dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa sewajarnya menunjukkan contoh tauladan kepada anak-anak mereka dengan mereka sendiri beramal dengan akhlak Islam di dalam cara kehidupan mereka seharian.

 Ibu bapa juga mestilah memberikan didikan agama dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka, agar mereka dapat membesar dengan sempurna dan mampu menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan tanah air mereka.

Tanggungjawab anak kepada ibubapa

 Setiap anak mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap ibu bapa mereka. Ayat 36 dari Surah Al Nisa telah menjelaskan tentang kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”
(An-Nisa’:36)

 Berbakti kepada kedua ibu bapa bukanlah hanya ketika mereka masih hidup sahaja, bahkan ia meliputi ketika mereka berdua sudahpun meninggal dunia. Antara cara berbakti kepada ibubapa ketika hayat mereka ialah mentaati mereka selama mana ia tidak bercanggah dengan perintah Allah SWT., berkorban harta dengan mereka, bersikap lemah lembut dengan mereka. Di dalam hal ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al Isra’ ayat 23:
فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا(23)
“maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al-Isra’ : 23).

 Sementara itu cara untuk berbakti kepada kedua ibu bapa sesudah ketiadaan mereka ialah dengan berdoa untuk kebahagiaan ruh mereka, menunaikan janji-janji mereka, menghubungkan silaturrahim dengan sahabat taulan mereka dan sebagainya.

Tanggungjawab suami terhadap isteri

 Seorang suami berkewajipan untuk mengawal isterinya dengan baik dan berlaku adil terhadapnya kerana isteri adalah amanah Allah SWT. ke atas para suami. Suami juga bertanggungjawab untuk memberi nafkah perbelanjaan kepada isteri meliputi makanan, pakaian dan tempat tinggal, menurut tahap kemampuan mereka. Selain dari itu, suami juga mestilah memberikan didikan yang sempurna kepada isteri terutama dalam hal-hal fardhu ain. Jika si suami tidak arif tentangnya dia perlu membenarkan isterinya pergi belajar tentangnya di luar rumah. Seorang isteri berhak untuk dipergauli dengan baik dan diberi layanan yang sempurna, dan adil terutamanya apabila suami tadi mempunyai lebih dari seorang isteri.

Tanggungjawab isteri kepada suami

 Isteri pula bertanggungjawab untuk taat kepada suaminya dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Kesucian diri mereka perlulah dipelihara di setiap masa sebagai bukti ketaatan dan kesetiaan mereka yang tidak berbelah bagi kepada suami mereka.

 Dalam masa yang sama mereka mestilah menghormati suami dengan menunjukkan perasaan yang baik kepadanya. Sekiranya suami mengkehendaki mereka pada bila-bila masapun, mereka hendaklah bersedia menyempurnakannya.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT

 Manusia tidak boleh hidup bersendirian tanpa wujudnya anggota masyarakat yang lain. Oleh kerana itu dalam mewujudkan masyarakat yang sejahtera, perlulah wujudnya sifat tolong menolong dalam hal kebaikan yang diiringi pula dengan sifat bertolak ansur dan berkasih sayang antara sesama mereka. Rasulullah  SAW. telah bersabda yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri”
 Di samping itu menjadi tanggungjawab anggota masyarakat untuk saling mengajak kepada kebenaran dan mencegah dari sebarang kemungkaran yang wujud di kalangan mereka. Amalan amar makruf dan nahi munkar ini jika diabaikan akan merosakkan masyarakat secara keseluruhannya.

 Apabila kesemua masyarakat memainkan peranan dan tanggungjawab mereka maka akan wujudlah sebuah masyarakat harmoni yang dipenuhi dengan sifat-sifat kasih sayang, hormat menghormati dan kerjasama sesama mereka.

TANGUNGJAWAB TERHADAP NEGARA

 Sebagai khalifah di atas muka bumi ini, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggotanya mempertahankan negara dari segala ancaman sama ada dari musuh-musuh luar ataupun musuh-musuh yang sedia ada dalam negara seperti fitnah memfitnah, hasut menghasut, penindasan terhadap golongan miskin, pengabaian terhadap anak-anak yatim dan kezaliman dari orang-orang yang jahat. Firman Allah SWT. dam Surah Al Nahl, 90:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ(90)
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”. (An-Nahl : 90).

 Di dalam menjalankan peraturan dan hukum hakam, mereka hendaklah merujuk kepada hukum Allah SWT. sebagaimana FirmanNya:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الْكَافِرُونَ(44)
“…dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir”. (al-Maidah : 44).

TANGGUNGJAWAB TERHADAP ALAM

 Alam adalah suatu anugerah dari Allah SWT. kepada manusia supaya ia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna sebagai khalifah dan hamba Allah SWT. Justeru itu setiap manusia perlulah memelihara alam ini dengan memelihara dan mengendalikannya dengan baik. Misalnya dalam melaksanakan hubungan dengan binatang, manusia dilarang dari membunuh dan menyiksa sesuka hati. Jika binatang itu perlu dibunuh, maka bunuhlah dengan baik dan tidak menyiksanya terlebih dahulu. Tanggungjawab manusia dengan tumbuhan pula ialah dengan tidak menebangnya sesuka hati. Sekiranya penebangan tidak dikawal ia akan menyebabkan kemusnahan kepada alam, seperti mengakibatkan pertukaran cuaca yang mendadak, banjir, tanah runtuh dan lain-lain lagi.

 Menjadi tanggungjawab kepada manusia menjaga kesejahteraan alam dari pencemaran bunyi, alam sekitar dan lain-lain. Ia bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia untuk meneruskan kehidupan mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

 Manusia menjadi punca kepada kemusnahan alam dengan melakukan sesuatu yang akan membawa kemudaratan kepada manusia dan makhluk-makhluk lain yang akan mendiami alam ini. Umpamanya pembuatan bom nuklear dan pencemaran udara boleh membunuh manusia itu sendiri dalam jangka masa yang panjang. Begitu juga dengan pencemaran udara yang menipiskan lagi lapisan ozon yang akan memusnahkan kehidupan makhluk di muka bumi ini.

Firman Allah SWT. dalam surah Al Rum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ(41)
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Ar-Rum : 41).


Kesimpulan

 Sebagai kesimpulan kepada tajuk ini, dapatlah dikatakan bahawa setiap manusia mempunyai tanggungjawab yang tertentu yang mesti ditunaikan untuk memperolehi kedamaian hidup di dunia dan akhirat. Walau di mana mereka tinggal dan di zaman bila mereka hidup, mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab tersebut, sama ada mereka adalah hamba Allah SWT. atau sebagai pengatur kepada diri sendiri, ibu bapa, isteri, suami, anak, anggota masyarakat, rakyat kepada sesuatu negara ataupun paling tidak satu makhluk Allah SWT. yang kerdil di muka bumi ini.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my

http://abdazizharjin.blogspot.com